PETALING JAYA: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-73 hari ini menerima pelbagai ucapan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik.
Antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kelahiran kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu melalui laman sosial Facebook masing-masing.
Fadillah mendoakan kesejahteraan Premier Sarawak itu dan semoga negeri tersebut sentiasa makmur dan harmoni di bawah pentadbirannya.
“Saya mendoakan Premier sentiasa mendapat keberkatan dan kasih sayang serta perlindungan Allah SWT, dikurniakan rezeki yang luas, kesihatan berpanjangan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.
“Semoga Sarawak sentiasa maju makmur dan harmoni di bawah pentadbiran Premier,” tulisnya.
Sementara itu, Wan Junaidi menyifatkan negeri dan rakyat Sarawak akan terus progresif, makmur dan bersatu hati di bawah kepimpinan Abang Johari.
“Kami akan sentiasa mendoakan kesejahteraan Premier Sarawak dan semoga Allah sentiasa memberi keberkatan,” ujarnya. – UTUSAN