MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengetuai senarai 1,042 penerima Darjah Kebesaran Negeri Melaka dengan dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.
Darjah itu dianugerahkan Sempena Hari Ulang Tahun Ke-74 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Sementara itu, Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri dianugerahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Darjah Cemerlang Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk Wira diberikan kepada 20 penerima antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Pegawai Tugas-tugas Khas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz.
Darjah Mulia Seri Melaka membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada 18 penerima antaranya Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd. Zin; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr. Anesee Ibrahim.
Sementara itu, antara 208 penerima dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Badaruddin Mohd. Kassim dan komposer terkenal, Hashim Said atau lebih dikenali sebagai S. Atan.
Seramai 62 orang penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka manakala seramai 96 orang menerima Bintang Cemerlang Melaka diikuti 205 penerima Bintang Khidmat Terpuji, 292 penerima Pingat Jasa Kebaktian, 129 penerima Pingat Bakti Masyarakat dan 10 penerima Pingat Khidmat Lama.
Darjah Kebesaran Melaka diberikan kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan, ahli politik, tokoh korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pengamal media, kelab sukan dan ahli-ahli badan sukarelawan.
Istiadat pengurniaan dijalankan sebanyak tiga sesi iaitu pada 24, 26 dan 27 Ogos 2023. – UTUSAN