SHAH ALAM: Sebanyak 997 pusat pengundian dibuka hari ini bermula pukul 8 pagi untuk memberi ruang kepada rakyat membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor melalui lebih 6,000 saluran di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pusat pengundian terdiri daripada 890 buah sekolah, 88 dewan dan balai raya serta 19 lain-lain premis termasuk Mini Stadium Sungai Besar serta tadika.
Di negeri ini, pemilihan dibuat untuk menentukan parti atau gabungan yang akan membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15 melalui pemilihan seramai 147 calon bertanding.
Parti-parti yang bertanding adalah gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta Parti Utama Rakyat Malaysia (PURM).
PN dengan gabungan Bersatu dan Pas mempertaruhkan paling ramai calon iaitu bertanding di kesemua 56 kerusi, sementara PH meletakkan calon di 44 kawasan dan Muda pula menampilkan calonnya di 14 DUN.
BN yang bersama PH pula meletakkan calon di 12 kerusi dan PRN kali ini menjadi siri pilihan raya bersejarah apabila menyaksikan dua parti yang berseteru lebih 30 tahun iaitu BN dan PH menjadi satu pasukan serta tidak bertembung sesama sendiri.
Selain parti-parti yang bertanding, terdapat individu yang enggan ketinggalan menyertai pilihan raya atas tiket bebas apabila sembilan calon menawarkan diri bertanding di sembilan kawasan, masing-masing menggunakan logo kunci, pokok, pen, surat khabar, kuda dan gajah.
Daripada jumlah itu, seramai 22 calon wanita bertanding bagi merebut 18 kerusi antaranya Permatang, Taman Templer, Hulu Kelang, Bukit Antarabangsa, Bukit Lanjan, Bandar Utama, Lembah Jaya, Batu Tiga, Semenyih, Seri Kembangan, Kampung Tunku, Subang Jaya, Sementa dan Sungai Kandis.
Daripada kesemua 56 DUN, sebanyak lima kerusi menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu paling banyak seperti di Kuala Kubu Bharu, Pandan Indah, Seri Setia, Sentosa dan Dengkil. Sementara pertandingan tiga dan dua penjuru pula di 23 dan 28 DUN.
Selangor merupakan negeri paling banyak kerusi dipertandingkan berbanding Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu dan jumlah pengundinya juga terbesar iaitu 3,747,057.
Menariknya, komposisi pengundi di negeri ini menyaksikan wanita paling ramai akan keluar mengundi iaitu 1,889,290 orang atau 50.42 peratus berbanding lelaki seramai 1,857,767 iaitu 31,523 orang lebih sedikit.
Berdasarkan peringkat umur, pengundi muda yang menjadi tumpuan oleh parti-parti yang bertanding, seramai 2,831,026 orang daripada kumpulan itu yang berusia antara 18 hingga 30 tahun akan keluar mengundi. – UTUSAN
Maklumat PRN Selangor 2023
- 56 DUN
- 3,747,057 pengundi
- 1,889,290 pengundi wanita
- 1,857,767 pengundi lelaki
- 997 pusat pengundian
- Lebih 6,000 saluran pengundian
- 22 calon wanita di 18 DUN
- 147 calon bertanding
- 7 parti politik
- 9 calon bebas