PUTRAJAYA: Sejumlah 8,587 calon berdaftar bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2023 akan menduduki peperiksaan pada 4, 5 dan 6 September depan dengan melibatkan tiga mata pelajaran.
KPM dalam kenyataan berkata, mata pelajaran itu melibatkan Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik di 204 pusat peperiksaan seluruh negara.
“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 1,639 petugas peperiksaan dilantik untuk Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu.
“Selain itu seramai 1,332 petugas peperiksaan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPM turut mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU 2023 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan selain arahan perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
Jelasnya, Jadual waktu peperiksaan SPMU 2023 boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di pautan lp.moe.gov.my.
“Calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian di pautan sppat.moe.gov.my,” katanya.
Tambah KPM, calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPMU 2023.
“KPM mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua calon peperiksaan SPMU Tahun 2023,” jelasnya. – UTUSAN