TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berharap 604 pelajar baharu diploma ambilan Ogos 2023 mampu sama-sama membantu melonjakkan nama UPSI sebagai universiti pendidikan terunggul di Malaysia.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, mengalu-alukan kehadiran semua pelajar itu yang akan menjadi keluarga baharu UPSI.
“Saya berharap semua pelajar baharu diploma akan sama-sama melonjakkan nama UPSI sebagai universiti pendidikan nombor satu di negara ini.
“Justeru, saya berharap pelajar akan belajar dengan bersungguh-sungguh dan tidak mensia-siakan wang ringgit dan pengorbanan oleh ibu ayah dari pelbagai latar belakang,” katanya hari ini.
Semua pelajar tersebut mendaftar di Dewan Kolej Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, di sini, pada Ahad lalu.
Mereka kemudian menjalani Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh (MILLENIA) selama tiga hari yang berakhir semalam.
Menurut Norkhalid, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) menyediakan pelbagai penerangan berkaitan kebajikan, pilihan raya, penggunaan sistem portal pelajar termasuk bersama pihak Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Jelasnya, kesemua pelajar yang mendaftar ditempatkan di Kolej Awang Had Salleh yang memiliki kemudahan yang kondusif, malah kalangan ibu bapa pelajar yang ditemui meluahkan perasaan teruja dengan keluasan kampus dan kolej, malah berpeluang melihat sendiri keadaan bilik yang disediakan.
Timbalan Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Maskana Ahmad, pula berharap semua pelajar baharu memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh UPSI di samping memastikan kebajikan pelajar dalam keadaan yang terjaga. – UTUSAN