50 tahun Blues Gang, ini yang terakhir - Utusan Malaysia

50 tahun Blues Gang, ini yang terakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INI adalah hadiah terakhir kami kepada rakyat Malaysia. Selepas ini tiada lagi naskah daripada Blues Gang. Ibaratnya kami telah ‘tutup buku’ dan saya harap Blues Gang akan terus ‘hidup’ dan mekar dalam jiwa peminat.”

Saya terdiam apabila mendengar ayat yang keluar daripada mulut Ito itu. Agak janggal menghadamnya kerana Ito yang saya kenali ialah antara artis yang unik di mana seluruh jiwa raganya diperhambakan dengan muzik.

Cinta dan ikhlasnya terhadap seni begitu mendalam sehingga dia pernah berkata ‘muzik itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit’ hanya menuntut selama mana perlu berjuang untuk meneruskan cita-cita.

Nama Ito bukanlah asing dalam industri muzik tanah air. Sejak era 70-an lagi penyanyi bersuara husky ini sudah mencipta nama bersama kumpulannya. Blues Gang yang dianggotai bersama Julian Mokhtar (gitar utama), Ghani Dato’ Abu Talib (gitar kedua/keyboard), Ian Anderson (gitar). Jim Madasamy (Bass/Vokal) dan Shaik Karim (Dram/Vokal).

Namun pada April 2018, Jim Madasamy meninggal dunia pada usia 68 tahun diikuti Shaikh Karim pada Julai 2023 ketika usia 69 tahun.

Ketiadaan dua anggota itu meninggalkan kesan mendalam buat Ito kerana kedua mereka merupakan tulang belakang kumpulan sebelum ini. Pengganti lantas dicari dengan tujuan hanya ingin memastikan Blues Gang terus ‘hidup dan bernafas’.

Mengekalkan genre muzik seperti sebelumnya, hari ini Blues Gang tampil dengan karya yang lebih memukau apabila mengadunkan elemen ska dan reggae dalam album terbaharu kali ini.

Menurut Ito, album yang akan diterbitkan selewat-lewatnya hujung tahun ini adalah rilisan ke-14 dan yang terakhir buat rakyat Malaysia selepas 50 tahun mereka berada dalam radar industri.

Menurutnya juga, ini adalah karya terbaik daripada mereka setelah hampir 20 tahun ‘bertapa’ tanpa sebarang material. Mengakui genre blues bukanlah popular di Malaysia, namun dia percaya album ini mampu mendapat sambutan luar biasa kerana jenama Blues Gang itu sendiri.

Tidak mahu bergantung dengan pasaran tempatan semata-mata, kali ini Ito menyasarkan Asia Tenggara sebagai destinasinya, terutamanya di rantau Nusantara yang masih mengangkat muzik blues sebagai pilihan nombor satu.

“Pasaran album bukanlah masalah besar kerana kami punya pengikut yang ramai dari kelompok Nusantara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia. Hampir 600 juta penduduk dunia juga meminati blues, jadi inilah peluang yang harus diteroka.

“Album ini unik. Bukan sekadar ‘menjual’ blues tetapi pelbagai elemen lain diterapkan untuk ‘mewarnai’’ muzik ini. Dua lagu telah selesai dirakam, iaitu Panglima Awang Hitam (versi Inggeris) dan Bincang Adik Beradik. Bakinya akan siapa dalam waktu terdekat.

“Keseluruhan album ini kami buat sendiri dan ada beberapa lagu yang diterbitkan oleh Jo Branko. Konsep Rock & Roll Blues masih lagi kami kekalkan, namun suntikan pelbagai elemen yang akan menjadikan muzik ini lebih moden berbanding dahulu,” katanya.

Ketiadaan dua anggota ternyata memberi tamparan buatnya apatah lagi dikala Blues Gang ingin menyambut ulangtahun ke -50 tahun. Bukan menolak ketentuan qada dan qadar tetapi sedikit sebanyak semangat itu terhakis gara-gara puluhan tahun bersama melalui perit jerih perjuangan selama ini.

Lima dekad mewarnai industri bukanlah jangka masa singkat. Faktor itulah perlunya ‘buah tangan’ terakhir yang perlu dihadiahkan buat peminat sebelum ambil keputusan berehat dan ‘tutup buku’.

“Blues Gang tidak ‘mati’ ditelan zaman. Biarpun hampir 20 tahun ‘bertapa’, namun kami masih aktif dan sering diundang membuat persembahan. Sebab itulah saya jamin album baharu ini mempunyai ‘jiwa dan roh’ kerana pengalaman selama 50 tahun itu kami curahkan di sini.

“Saya tak ralat keluarkan bajet lebih RM80,000 untuk album ini kerana untuk yang terakhir perlu berikan sehabis baik. Usia tidak jadi penghalang, tenaga dan stamina kami masih sama seperti orang muda. Seperti kata pepatah, kelapa tua lebih banyak santannya,” katanya tertawa.

Menurut pengurus promosi Blues Gang, Ahmad Samri Mohamed Akhir (Ahwee), sebelum Blues Gang ‘tutup buku’ dan mengundurkan diri dari industri selayaknya mereka diberikan penghormatan kerana penglibatan dan jasa mereka dalam memperjuangkan muzik blues di negara ini, selama puluhan tahun,

Untuk itu dia bercadang menganjurkan sebuah konsert terakhir Blues Gang di Kuala Lumpur sebelum bergerak dengan siri jelajah di beberapa negeri sebaik album baharu diterbitkan.

“Konsert ini adalah ‘hadiah’ buat peminat yang selama ini menyokong perjuangan Blues Gang. Selain dapat melepaskan rindu, mungkin ia akan menyimpan memori indah dan berharga buat peminat kerana ini adalah yang terakhir, selepas ini tiada lagi Blues Gang.

“Saya percaya konsert ini akan menjadi sejarah bermakna kerana pastinya Blues Gang akan memberikan persembahan all out dan menterjemahkan apa yang mereka simpan selama 50 tahun sebelum ini. Di situlah Blues Gang akan meluahkan segalanya kepada penonton,” katanya.

Tidak tamat di situ, yang menariknya selesai perancangan konsert di Malaysia, Blues Gang akan berkelana ke benua Eropah dan Afrika Selatan selama enam bulan untuk mengadakan siri jelajah di sana.

Menurut Ahwee, tawaran tersebut diterima mereka pada hujung tahun lalu namun terpaksa ditunda atas beberapa faktor antaranya kewangan dan musim sejuk.

Katanya, ini adalah satu pengiktirafan dan penghormatan besar yang diberikan pihak luar kepada sebuah kumpulan yang bukan sekadar bertapak lama tetapi arus muzik yang dibawa mereka.

Bukan mudah sebuah kumpulan muzik dari negara kerdil seperti Malaysia diberi peluang mengadakan persembahan di luar negara.

“Penganjur di Eropah telah menyusun jadual persembahan yang bakal diadakan, namun kami terpaksa juga mencari dana dan penaja untuk menggerakkan misi ini kerana tempoh jelajah ini mengambil masa selama enam bulan, sedikit sebanyak perlukan persediaan rapi terutamanya wang ringgit bagi menampung perbelanjaan ketika berada di sana.

“Mungkin saya akan berjumpa dengan beberapa pihak berkenaan bagi memohon penajaan ini. Blues Gang adalah sebuah kumpulan legenda. Sayang rasanya jika di akhir karier mereka kita tidak memberikan reward yang sewajarnya. Mereka pergi bukan sekadar untuk muzik, tetapi membawa dan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya mengakhiri perbualan.

Selamat maju jaya untuk Ito dan kumpulan Blues Gang, rakyat Malaysia pastinya merindui karya hebat anda, bak kata Ito kepada saya,

“Blues itu demokrasi, Blues menyatukan manusia dan muzik.”

Karya hebat anda tetap tersemat di sanubari kami!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya