PUTRAJAYA: Seramai 474 ahli kontinjen Malaysia yang sedang menyertai Jambori Pengakap Dunia ke-25 kini dalam proses penempatan semula ke dua kawasan berasingan di Korea Selatan.
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Seoul memaklumkan, dua tempat itu ialah di Korea National University of Agriculture and Fisheries dan Jeonbuk National University di Jeonju-si, Jeollabuk-do.
Dalam satu kenyataan Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Seoul sedang memantau secara rapi proses tersebut dengan berhubung secara langsung dengan wakil kontinjen Malaysia dan pihak penganjur bagi mendapatkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
“Kementerian Luar Negeri Korea Selatan semasa sesi penerangan kepada kor diplomatik memaklumkan bahawa kerajaan negara itu akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, perubatan dan sajian untuk kesemua peserta.
“Kerajaan mereka juga memberi jaminan akan merombak semula program itu dan akan menyelaraskan pelaksanaannya mengikut kesesuaian tapak baharu yang dipilih bagi memastikan objektif penganjuran Jambori tersebut tercapai,” katanya malam ini.
Sebarang perkembangan terkini berhubung perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Wisma Putra sebelum ini memaklumkan Kontijen Pengakap Malaysia yang menyertai acara itu bermula 1 hingga 12 Ogos ini berada dalam keadaan selamat susulan cuaca panas yang agak melampau di Saemangeum.
Kontijen berkenaan melibatkan seramai 499 ahli terdiri daripada pengakap, guru pengiring dan pasukan sokongan.
Korea Selatan memindahkan berpuluh-puluh ribu pengakap hari ini dari kem jambori yang dibelenggu pelbagai masalah menjelang ketibaan ribut puting beliung, beberapa hari selepas gelombang haba mengakibatkan ramai peserta jatuh sakit.
Dilaporkan, suhu mencecah 34 darjah Celsius di Saemangeum, berhampiran bandar Buan di pantai barat Korea Selatan, yang mana hampir 39,000 ahli pengakap berumur 14 hingga 18 tahun menyertai aktiviti perkhemahan itu. – UTUSAN