44 penghuni Pokok Sena dibebaskan sempena merdeka

44 penghuni penjara Pokok Sena dibebaskan sempena merdeka

penjara
AMINON Adnan bersalaman dengan penghuni penjara pada program PBSL Ihsan Madani sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Penjara Pokok Sena, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 menjadi lebih bermakna buat 44 penghuni Penjara Pokok Sena, di sini hari ini apabila mereka dibebaskan melalui Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), hari ini.

Pengarah Penjara Pokok Sena, Timbalan Komisioner Aminon Adnan berkata, kesemua mereka telah memenuhi syarat dan melepasi tapisan Seksyen 43 Akta Penjara 1995 (Akta 537) serta Peraturan 111, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

“Ada dalam kalangan mereka yang dibebaskan ini akan terus diambil bekerja oleh majikan-majikan yang setuju bekerjasama dengan pihak kami, manakala sebahagian yang lain pula akan kembali bersama keluarga.

“Mereka ini telah memenuhi syarat dan melepasi tapisan dilakukan. Meskipun sudah dibebaskan, pihak majikan dan ahli keluarga terus digalakkan untuk selalu berhubung dengan pegawai parol bagi memaklumkan mengenai perkembangan individu berkenaan.

“Dalam tempoh beberapa tahun program ini berjalan, kesannya tampak positif. Tiada masalah besar timbul dengan bekas penghuni yang dibebaskan juga berjaya menyesuaikan diri dengan kehidupan masyarakat lebih awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas program tersebut.

Sementara itu seorang penghuni yang dibebaskan melalui program tersebut, Othman (bukan nama sebenar), 53, memaklumkan, dia terharu melihat ibunya yang sudah berusia tetap hadir ke penjara tersebut bagi menyambut kepulangannya, hari ini.

Dia yang dimasukkan ke penjara itu atas kesalahan dadah sejak Ramadan lalu dilihat tunduk bagi mencium tangan dan pipi ibunya berkali-kali ketika kedua-dua mereka dijemput ke pentas bagi menerima kertas pembebasan daripada Aminon.

“Memang saya sebak dan terharu kerana ibu masih datang walaupun sudah berumur 71 tahun dalam keadaan terhincut-hincut kerana sakit lutut. Ini merupakan kali ke-13 saya dipenjara, tetapi ibu masih hadir menyambut saya pulang walaupun dalam keadaan kurang sihat.

“Sebenarnya saya pernah berjaya jauhkan diri daripada dadah setelah keluar dari penjara buat kali ke-12 kira-kira tujuh tahun lalu. Namun akibat pengaruh rakan-rakan, saya kembali ambil bahan terlarang tersebut dan kini saya benar-benar berazam untuk tidak ulangi perbuatan itu lagi supaya dapat jaga ibu yang tidak sihat,” katanya.

Sementara itu, ibunya turut menitiskan air mata apabila bercakap mengenai anaknya namun tetap menerima apa sahaja keadaan yang menimpa.

“Dulu sewaktu dia tamat latihan tentera, saya hadir ke majlis penuh istiadat itu dan kini apabila dia dibebaskan dari penjara kali ke-13 pun, saya tetap datang juga. Dia tetap anak sulung saya dan doa untuknya tak pernah putus. Berkat doa ibu, saya harap dia benar-benar berubah kali ini,” katanya.

Dalam pada itu seorang usahawan, Noor Fatin Izzati Mazlan, 27, berkata, ini merupakan kali kesembilan dia mengambil golongan yang terlibat dengan PBSL untuk bekerja dengannya dan tidak berdepan masalah untuk menguruskan para pekerjanya yang datang daripada ‘laluan’ itu.

“Sejak dua tahun lalu, terdapat kira-kira 20 pekerja yang saya ambil dari golongan ini. Ada antara mereka yang masih bekerja dengan saya dan sebahagian lagi saya bantu untuk dapatkan pekerjaan di kilang-kilang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya