434 pesawah luar kawasan MADA terkesan dengan cuaca panas - Utusan Malaysia

434 pesawah luar kawasan MADA terkesan dengan cuaca panas

RAZALI SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 434 pesawah di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sekitar negeri ini dilaporkan terkesan dengan pengurangan taburan hujan yang turut mempengaruhi aktiviti pembajakan tanah dan penanaman mereka.

Berdasarkan rekod Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga Julai lalu, keluasan tanaman padi terlibat yang terkesan dengan perubahan cuaca tidak menentu itu adalah sekitar 501 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, berikutan itu, Jabatan Pertanian telah mengambil inisiatif bagi mengedarkan sebanyak 10 unit pam bernilai RM50,000 kepada peserta projek kelompok padi bagi tujuan pemindahan dan agihan air dari sumber ke petak sawah.

“Selain itu, jabatan juga telah melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan seperti membina baru dan menyelenggara parit ladang sedia ada, membina pintu kawalan air dan membina longkang konkrit untuk memastikan bekalan air dapat disalirkan ke kawasan tanaman padi,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Razali berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan oleh Saad Seman (Chuping-PN) berhubung berapakah jumlah pesawah terkesan dengan perubahan cuaca melampau di negeri ini.

Dalam pada itu, Razali berkata, berdasarkan rekod MADA, tiada mana-mana pesawah di dalam kawasan mereka dilaporkan terkesan dengan perubahan iklim tersebut memandangkan aktiviti tanaman padi bagi musim 1/2023 masih belum dilaksanakan secara meluas.

“Pembekalan air di petak sawah juga tidak menghadapi masalah dan situasi takungan air empangan juga masih berada dalam keadaan memuaskan iaitu lebih tinggi daripada paras terendah,” katanya.

Di samping itu, Razali berkata, kerajaan negeri turut menzahirkan penghargaan di atas pengumuman kerajaan Persekutan bagi kenaikan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik.

Katanya, pengumuman itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan kos sara hidup pesawah padi termasuk dengan kenaikkan harga input pertanian dan belanja pengurusan di sektor berkenaan pada masa kini.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan petani di negeri mengucapkan terima kasih atas pengumuman itu yang amat membantu pesawah bagi meringankan kos sara hidup mereka,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan khabar gembira itu sewaktu berucap pada program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai, Parit Buntar, Perak, semalam.

Katanya, dengan langkah itu bermakna pesawah akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 per tan metrik dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan golongan itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya