4,195 rakyat terima lesen motosikal percuma - Utusan Malaysia

4,195 rakyat terima lesen motosikal percuma

HASBI Habibollah (dua dari kanan) memakaikan topi keledar kepada penerima lesen program MyLesen B2 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 4,195 rakyat di seluruh negara menerima lesen motosikal secara percuma menerusi program MyLesen B2 yang dilancarkan Kementerian Pengangkutan sejak Mei lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, setakat 4 Ogos lalu, program itu telah diadakan di sembilan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis dan Sabah.

Beliau berkata, keutamaan yang diberi adalah untuk pemohon dari golongan B40, orang kurang upaya (OKU), asnaf zakat, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan e-Kasih.

“Program ini diharap dapat meringankan beban kewangan rakyat iaitu kos RM300 untuk setiap permohonan dan dibimbing sehingga lulus dalam mendapatkan lesen itu.

“Untuk tahun ini, kita sasarkan seramai  9,000 penerima akan mendapat manfaat program ini dengan kuota yang berbeza di setiap negeri.

“Contohnya di Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan kita beri kuota 900 orang setiap negeri manakala Pahang dan Kuala Lumpur masing-masing ada kuota 500 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Terengganu, di Taman Tamadun Islam di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Rospiagos Taha dan Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin.

Dalam majlis yang sama, seramai 300 penerima lesen turut menerima sumbangan topi keledar tajaan Malaysia Rail Link (MRL) agar mereka sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas.

Tambah Hasbi, sebanyak RM2.7 juga telah diperuntukkan bagi memastikan 9,000 golongan pemohon yang layak dapat mencapai impian untuk memiliki lesen secara sah.

“Semoga mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa kerana lesen motosikal itu akan memudahkan urusan kerja atau berniaga,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya