3,949 peserta daripada 109 kontinjen sertai perarakan Hari Kebangsaan - Utusan Malaysia

3,949 peserta daripada 109 kontinjen sertai perarakan Hari Kebangsaan

SEBAHAGIAN daripada peserta yang terlibat dalam perarakan sempena Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seramai 3,949 peserta daripada 109 kontinjen terlibat dalam perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini, pagi ini.

Mereka terdiri daripada kakitangan jabatan, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan berkanun, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat, institusi pengajian, kumpulan pancaragam dan badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Terengganu.

Seawal pukul 7 pagi, orang ramai mula berkumpul di sekitar Dataran Shahbandar bersama keluarga dan rakan untuk menyemarakkan lagi sambutan hari bersejarah tersebut.

Orang ramai juga berkumpul di sepanjang jalan untuk menyaksikan perarakan kontinjen sejauh empat kilometer termasuk pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ramai yang datang dengan membawa bayi dan anak kecil dengan pelbagai busana menarik berkonsepkan Jalur Gemilang serta mengibarkan bendera Malaysia dengan penuh semangat.

Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan turut berkenan berangkat ke majlis itu bersama adindanya bagi menyaksikan perarakan kontinjen dan lintas ‘Hormat DiRaja’ serta persembahan yang lain termasuk demonstrasi silat.

Beberapa pengunjung yang ditemui pula mengakui mereka sanggup hadir menyaksikan perarakan itu berbanding menontonnya di kaca televisyen kerana aura dan kemeriahannya jauh berbeza.

Seorang kakitangan swasta, Nur Izzati Husna Mohd Khalid, 37 berkata, dia bersama dua anaknya teruja melihat perarakan tersebut terutama persembahan lakonan menangkap penjenayah dari anggota polis.

“Selain itu, anak-anak teruja kerana ada enam sepupu mereka terlibat dalam perarakan pagi ini, kami datang untuk memberi semangat kepada mereka dan menyemai rasa cinta negara,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norashikin Abdul Aziz, 43, pula berkata dia sanggup menaiki bot penambang dari Seberang Takir untuk pergi ke Dataran Shahbandar bagi menyaksikan perarakan itu kerana tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Alhamdulillah, dapat sampai dengan lebih cepat, cuma perlu berjalan kaki sedikit untuk tiba ke Dataran Shahbandar namun tidak terasa penatnya kerana di sepanjang jalan memang meriah dengan pelbagai ragam pengunjung yang sama-sama teruja menyambut Hari Kebangsaan pagi ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya