38 warga Indonesia mengaku bersalah tiada dokumen sah - Utusan Malaysia

38 warga Indonesia mengaku bersalah tiada dokumen sah

SEBAHAGIAN warga asing yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Teluk Intan atas pertuduhan tinggal di negara ini lebih masa selepas ditangkap di perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup di Bagan Datuk. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seramai 38 orang warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasuki dan berada dalam negara ini tanpa dokumen yang sah serta tinggal melebihi masa, dua minggu lalu.

Kesemua tertuduh berusia 21 hingga 47 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh termasuk tiga wanita didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 kerana tinggal di negara ini tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang sah.

Pertuduhan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala 25 tertuduh termasuk enam wanita didakwa berada di negara ini lebih dari masa yang telah ditetapkan iaitu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 Pindaan 2002 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pantai Sungai Tiang pada pukul 8.30 pagi, 10 Ogos 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan dan Azalea Sharmeen Zaizan manakala kesemua warga asing tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) dijatuhi hukuman penjara empat bulan daripada tarikh tangkapan dengan tambahan 10 pesalah lelaki dikenakan satu sebatan.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) pula, mahkamah menetapkan semua 25 tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan daripada tarikh ditangkap.

Media pada 10 Ogos lalu melaporkan, cubaan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup keluar dari negara ini dengan menaiki sebuah bot gagal, apabila ditahan pihak berkuasa kira-kira 1.0 batu nautika dari Perairan Pantai Sungai Tiang, Rungkup, Bagan Datuk.

Bot berkenaan dikesan pada pukul 8 pagi selepas tersangkut pada beting pasir ekoran paras air laut surut.

Berdasarkan siasatan, bot yang membawa warga asing tanpa permit kerja yang sah itu dalam perjalanan menuju ke Tanjung Balai, Sumatera Utara, Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya