CYBERJAYA: Sejumlah 3,767 kes dilaporkan di seluruh negara membabitkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada enam bulan pertama tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 794 kes direkodkan di Selangor dengan 58 kes membabitkan daerah Sepang.
Katanya, di samping itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut mengendalikan sebanyak 402 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan 83 kes dan tujuh daripadanya dilaporkan di daerah Sepang.
“Dalam usaha untuk membendung peningkatan kes-kes seumpama ini, kementerian mewujudkan Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) yang menjadi asas kepada pembangunan komuniti dengan didorong oleh anggota komuniti itu sendiri.
“Organisasi tersebut diiktiraf memainkan peranan penting dalam membangunkan komuniti setempat menerusi promosi penglibatan komuniti dan tindakan kolektif ahli komuniti dalam menangani masalah setempat.
“Ini termasuk memenuhi defisit keperluan komuniti dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan hidup,” katanya pada Program Pemerkasaan CBO @KPWKM Tahun 2023 di Kelab Komuniti Taman Tasik Cyberjaya hari ini.
Jelas beliau, program yang dilaksanakan itu merupakan salah satu usaha kementerian untuk memperkasa pengetahuan dan kemahiran ahli-ahli komuniti yang mengganggotai CBO di daerah Sepang sebagai rakan strategik untuk membantu menyantuni kumpulan sasar.
Ini kerana katanya, isu penjagaan keselamatan golongan rentan dalam komuniti khususnya kanak-kanak, golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas serta mangsa keganasan rumah tangga tidak boleh dipandang remeh.
“Tugas melindungi serta menjaga keselamatan dan kebajikan golongan tersebut adalah tanggungjawab bersama semua pihak khususnya komuniti setempat,” ujarnya. – UTUSAN