KUALA TERENGGANU: Seramai 36 bayi merdeka dilahirkan di seluruh Terengganu bermula pukul 12 tengah malam tadi hingga 10 pagi ini.
Bayi tersebut melibatkan 18 bayi lelaki dan 18 bayi perempuan.
Daripada jumlah itu, seramai 25 bayi dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, lima di Hospital Kemaman, tiga di Hospital Besut, dua di Hospital Dungun dan seorang bayi di Hospital Hulu Terengganu.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesemua bayi merdeka itu turut menerima cenderahati daripada beberapa pihak iaitu Co-opbank Pertama, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Di HSNZ hari ini, kita juga bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu untuk memberi penerangan mengenai tempoh pendaftaran kelahiran bayi kepada ibu bapa mereka.
“Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah dan mendidik mereka untuk merancang pada depan yang terbaik untuk anak-anak merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis meraikan kelahiran bayi merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA), di sini, hari ini.
Sementara itu, beberapa ibu bapa yang ditemui mengakui teruja dan gembira kerana dapat melahirkan bayi mereka pada tarikh keramat yang bersejarah iaitu 31 Ogos.
Aliani Adanan, 35, dan suaminya Mohamad Zahar Ali, 38, adalah ibu bapa kepada bayi merdeka pertama yang lahir di HSNZ pada pukul 1.25 pagi.
Mohamad Zahar berkata, bayi perempuan ketiganya itu dilahirkan seberat 3.1 kilogram secara normal dan menyifatkannya sebagai anugerah terindah daripada Allah.
“Alhamdulillah saya dikurniakan bayi perempuan pada tarikh keramat pada 31 Ogos tahun ini,” katanya
Seorang lagi ibu, Norazian Mamat, 38, pula berkata, dia bersyukur dapat melahirkan bayi ketujuhnya secara normal pada hari bersejarah negara.
“Alhamdulillah, dengan kepakaran doktor dan jururawat saya berjaya melahirkan bayi lelaki seberat 2.99 kilogram pada pukul 3.56 pagi tadi,” katanya. – UTUSAN