KUALA SELANGOR: Lebih 350 penduduk Kampung Bukit Kapar Tambahan dan Jalan Seri Jaya di sini, meluahkan kebimbangan berikutan kerap dilanda banjir lumpur setiap kali hujan lebat sejak setahun lalu.
Masalah itu didakwa berlaku akibat sistem perparitan dan saliran tidak terancang di kawasan bukit berdekatan dua kampung tersebut.
Wakil penduduk, Shahrul Nahar Sajari, 45, berkata kejadian banjir lumpur itu disebabkan kerja-kerja pengorekan tanah bukit milik individu persendirian.
“Kerja pengorekan di lereng bukit yang dilaksanakan setahun lalu itu didapati tidak mempunyai sistem saliran sistematik. Keadaan itu mengakibatkan limpahan air tidak terkawal sehingga berlakunya banjir lumpur di kawasan rumah dan jalan raya,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, masalah itu menyebabkan kawasan rumah penduduk sudah empat kali digenangi banjir lumpur jika hujan berterusan.
“Mulanya kawasan kami sering dilanda banjir akibat pembangunan kawasan perumahan namun keadaan lebih teruk dengan adanya kerja pengorekan tanah di kawasan bukit.
“Justeru, saya berharap pihak berwajib menyelesaikan masalah itu termasuk memastikan kerja pengorekan tanah mengikut spesifikasi ditetapkan dan membina sistem saliran atau perparitan yang lebih baik,” ujarnya.
Bagi Ketua Kampung Felda Bukit Cherakah, Khairi Dzulazizi Mohd Yusof, terdapat kira-kira 70 keluarga di Kampung Bukit Kapar Tambahan berdepan risiko banjir lumpur setiap kali hujan.
“Penduduk kerap merungut setiap kali kawasan jalan berhampiran rumah mereka digenangi banjir lumpur. Walaupun rumah tidak dinaiki air, keadaan permukaan jalan rosak teruk dan dipenuhi lumpur melekat hingga mengundang rasa tidak selesa,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang meninjau permasalahan berkenaan berkata, beberapa kaedah jangka masa pendek dan panjang perlu segera dilaksanakan.
“Namun, saya perlu mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib dan pemilik tanah bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Terdapat beberapa pihak yang perlu saya rujuk untuk menyelesaikan masalah ni kerana kawasan terlibat berada di persempadanan daerah dan juga DUN (Dewan Undangan Negeri),” katanya. – UTUSAN