KUALA TERENGGANU: Sebanyak 35 inisiatif baharu akan dikemukakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dalam pembentangan dan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen pada 11 September depan.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kesemua inisiatif itu adalah cadangan dan permintaan daripada gerakan koperasi serta usahawan Perindustrian Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) hasil perjumpaan serta kunjungannya ke seluruh negara setakat ini.
Menurutnya, semua cadangan itu akan diperincikan dan diteliti dalam satu mesyuarat jawatankuasa khas melihatkan Kuskop, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sebelum dimuktamadkan.
“Saya sebagai menteri, mahu pertahan semua cadangan yang telah dikemukakan ini untuk dilaksanakan dalam penggal RMK12 yang seterusnya.
“Kita juga akan adakan libat urus antara semua kementerian yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan Madani 2024 dan di situlah saya akan kemukakan cadangan implikasi peruntukan kepada 35 inisiatif tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis perasmian Ar-Rahnu Koguru, Inap Desa dan Room Stay Koperasi Warga Pendidikan Negeri Terengganu di Tok Molor hari ini.
Tambahnya lagi, kementerian sangat komited untuk merealisasikan hasrat menjadikan gerakan koperasi sebagai platform untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini.
“Di Sabah contohnya, satu jawatankuasa khas yang mengurus program pembasmian kemiskinan akan membantu penduduk untuk menguruskan koperasi yang akan meningkatkan taraf hidup mereka.
“Selain itu, ada macam-macam cadangan saya terima untuk perkasakan koperasi nak bantu golongan belia, wanita, masyarakat luar bandar, golongan kategori B40 dan penerima e-Kasih untuk mereka menjana pendapatan.
“Kita dengar semua cadangan itu termasuk dari komuniti Orang Asli, Felda dan penduduk Sabah Sarawak untuk memenuhi keperluan mereka dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui koperasi,” katanya. – UTUSAN