PETALING JAYA: Teka teki status perkahwinan penyanyi, Datuk ND Lala, 62, terungkai apabila isterinya, Fauziah Sarman mengumumkan dia sudah diceraikan suaminya menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp.
Fauziah berkata, dia dimaklumkan berhubung lafaz cerai menerusi aplikasi tersebut semalam yang telah dilakukan bekas suaminya pada 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar.
“Assalammualaikum semua. Alhamdulillah dengan izin-Nya dan kekuatan kasih sayang Allah kepada saya – saya ingin memaklumkan kepada semua yang saya telah menerima lafaz cerai melalui aplikasi WhatsApp yang dikirimkan pada pagi 8 Ogos 2023.
“Untuk perkahwinan yang terbina selama 34 tahun, lafaz cerai ini dibuat oleh bekas suami saya pada tarikh 2 Ogos lalu di Masjid Ar Rahman, Bangsar dan saya dimaklumkan semalam (8 Ogos 2023) melalui WhatsApp,” ujarnya.
Ibu kepada penyanyi, Shila Amzah itu mengumumkan perkara tersebut menerusi satu hantaran di Instagramnya.
Dalam perkongsian sama, Fauziah tetap berlapang dada menerima ketentuan Ilahi dan yakin dengan doanya serta doa-doa mereka yang sentiasa berada bersamanya selama ini untuk kehidupan yang lebih baik, tenang dan sempurna.
Malah, tulis Fauziah lagi, dia berkongsi makluman tersebut untuk menjelaskan statusnya agar tidak timbul sebarang fitnah dan cuba mendidik jiwanya sendiri untuk tidak menafikan kenyataan yang telah tertulis dalam perkahwinan mereka selama 34 tahun.
“Apa yang telah saya lalui telah saya redakan dan Insya-Allah saya yakin aturan Allah SWT ini adalah yang terbaik buat saya. Doakan untuk saya terus kuat sebagaimana saya kuat selama bertahun-tahun hidup dalam penipuan.
“Apa yang telah menjadi sejarah akan saya titipkan sebagai nadi kekuatan saya dalam membina hidup yang lebih diredai Allah tanpa menyakitkan jiwa sesiapa kerana saya sangat sedar, dosa sesama manusia ini sangatlah berat.
“Terima kasih untuk doa semua dan buat mereka yang ada dalam kisah saya yang sangat panjang dan payah untuk diungkapkan dalam baris kata. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik dan kasih sayang kalian semua,” kongsinya.
Status hubungan antara ND Lala dan Fauziah mula menjadi buah mulut warganet apabila pelbagai dakwaan mengatakan rumah tangga mereka sedang berantakan mula bertiup kencang.
Spekulasi tersebut bertambah panas apabila Fauziah memuat naik sekeping gambar seorang wanita dengan kapsyen menunjukkan seolah-olah dia sudah dimadukan. – UTUSAN