32 pelajar SMK Tinggi Perempuan Melaka keracunan makanan

32 pelajar SMK Tinggi Perempuan Melaka keracunan makanan

SMK Tinggi Perempuan Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gara-gara menjamah ayam masak lemak cili padi sebagai hidangan makan malam, seramai 32 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka di sini terpaksa dikejarkan ke klinik kesihatan selepas mengalami simptom keracunan makanan, awal pagi semalam.

Para pelajar terlibat mendakwa, juadah yang disediakan dewan makan asrama sekolah berkenaan mempunyai rasa yang pelik, selain rupa fizikal ayam juga kelihatan lain berbanding kebiasaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, dapur asrama itu telah diarahkan tutup selama 14 hari bermula semalam, mengikut Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

NGWE HEE SEM

“Simptom mula dialami pada pagi Isnin dan masakan yang disyaki menjadi punca ialah ayam masak lemak cili padi yang dimakan pada malam Ahad.

“Pelajar-pelajar mendakwa terdapat perubahan fizikal pada ayam yang dimakan, selain rasanya juga sedikit pelik. Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keracunan makanan itu.

“Selepas itu mereka mula mengalami tanda-tanda keracunan makanan dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Peringgit untuk mendapatkan rawatan.

“Mereka hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tiada pelajar yang dimasukkan ke wad,” katanya dalam sidang akhbar ketika hari kedua Persidangan Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Tambah Hee Sem, setakat 31 Julai lalu, sebanyak lapan kes keracunan makanan telah dilaporkan di Melaka dengan lima daripadanya membabitkan sekolah.

“Jumlah itu melibatkan tiga kes di daerah Melaka Tengah, tiga di Alor Gajah dan dua di Jasin. Daripada jumlah tersebut lima melibatkan sekolah dan semua adalah terkawal dengan tiada kematian dilaporkan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya