3 produk kosmetik dikesan ada racun berjadual

3 produk kosmetik dikesan ada racun berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga produk kosmetik didapati mengandungi racun berjadual yang dikesan boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

TIga produk itu ialah BL Ledehh Day Cream dan BL Ledehh Night Cream mengandungi racun Merkuri manakala produk For U Night Cream – 15g pula ada racun Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik tersebut.

Susulan itu, tegasnya, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan yang mana boleh diserap masuk ke dalam badan san menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan selain menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Radzi berkata, produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate pula adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Katanya, penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan seperti kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan dan perubahan warna kulit yang tidak diingini.

Ini termasuk kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

“Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan penjual dan pengedar menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya