28,000 isi rumah B40 terima manfaat Skim Perubatan Madani

28,000 isi rumah B40 terima manfaat Skim Perubatan Madani

PENGLIBATAN komuniti dengan kerjasama PERTIWI di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Chow Kit, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 28,000 isi rumah B40 telah mendapatkan rawatan di bawah Skim Perubatan Madani yang merupakan satu inisiatif diwujudkan oleh kerajaan bagi menampung keperluan kesihatan golongan berkenaan terhadap penjagaan kesihatan primer akut.

ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) dalam satu kenyataan memaklumkan, sehingga 1 Ogos lalu, jumlah klinik perubatan swasta (GP) yang berdaftar untuk skim itu melebihi 600 buah dan dijangka terus meningkat pada masa akan datang. 

“Skim ini juga sedang dalam perancangan untuk diperluas ke daerah lain seperti Kota Bharu dan Pasir Mas di Kelantan; Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Terengganu; Kuantan di Pahang; Melaka Tengah di Melaka; Seremban di Negeri Sembilan; Kota Setar dan Kuala Muda di Kedah, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang serta Perlis,” katanya.

Dalam pada itu, ProtectHealth memaklumkan, pihaknya giat membuat promosi bagi memastikan penerimaan skim meluas dalam kalangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah.

Katanya, pelbagai sesi libat urus diadakan dengan wakil-wakil negeri berkaitan, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan-pertubuhan serta pemimpin-pemimpin komuniti di seluruh negara seperti Yayasan Wilayah Persekutuan, Felda dan Felcra.

Menurut kenyataan itu, bermula 15 Jun lalu, skim berkenaan dilancarkan kepada kumpulan B40 di 10 daerah iaitu Johor Bahru (Johor), Kuala Lumpur, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak (Selangor), Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah). 

“Skim ini menyediakan rawatan pesakit luar kes-kes akut secara percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah yang mana golongan berpendapatan rendah boleh mendapatkan rawatan di klinik perubatan swasta berdaftar di bawah Skim Perubatan Madani.

“Sehingga Julai lalu, ProtectHealth mengadakan taklimat kepada 70 klinik kesihatan dan 186 klinik perubatan swasta di 10 daerah ini. Dalam masa yang sama, enam taklimat telah diadakan kepada Persatuan Penduduk (Projek Perumahan Rakyat/Perumahan Awam) PPR/PA dan komuniti setempat yang mempunyai kepadatan penduduk B40 yang tinggi. 

“Antaranya PPR Pangsapuri Sri Kasih, PPR Taman Kajang Sentral dan PPR Taman Medan Jaya,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, tumpuan utama sesi libat urus itu adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang manfaat skim ini dan usaha kerajaan meningkatkan akses kepada perkhidmatan rawatan primer akut di sektor swasta bagi golongan berpendapatan rendah. 

“Penerima yang layak menerima manfaat skim ini hanya perlu membawa kad pengenalan mereka ketika mendapatkan rawatan. Layari www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani untuk menyemak kelayakan dan senarai klinik panel atau hubungi 0386872525,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya