ALOR SETAR: “Dalam keadaan masih mamai (mengantuk) kerana terjaga secara mengejut daripada tidur, kami hanya mampu melaungkan azan dan melihat ribut menerbangkan bumbung rumah tanpa sempat berbuat apa.
Itu kata seorang mangsa di Taman Perumahan Awam Kuala Sala, di sini yang mengalami kerugian apabila sebahagian besar bumbung rumah diterbangkan angin kencang dalam kejadian awal pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 3.50 pagi itu, sebanyak 20 rumah penduduk rosak dibadai ribut, manakala lapan rumah di Kampung Permatang Bongor, Kampung Kuala Sala, Kampung Jawa dan Kampung Buloh yang terletak berdekatan taman itu turut terjejas.
Mangsa, Multazam Yaacob, 60, berkata, ketika kejadian mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum tiba-tiba terdengar bunyi deruman yang kuat menghampiri rumah lantas bingkas bangun untuk melihat apa yang berlaku.
“Sebaik keluar daripada bilik saya tergamam melihat bumbung bahagian ruang tamu dan bilik berdekatannya diterbangkan angin. Disebabkan terlalu terkejut saya tidak bergerak dari tempat berdiri sehinggalah terdengar laungan azan daripada isteri daripada bilik.
“Kami tidak sempat mengalihkan barangan rumah menyebabkan sebahagian besar perabot rosak ditimpa kerangka kayu bumbung dan basah akibat terkena air hujan. Bagaimanapun saya bersyukur kerana kejadian itu tidak mencederakan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang peniaga, Noraini Md. Zain, 60, pula berkata, ketika kejadian dia bersama anak, Mohd. Ashraf Mohd. Sukri, 29, tidur di kedai makan milik mereka yang berhadapan dengan taman perumahan awam berkenaan.
“Saya dikejutkan oleh anak apabila dia mendengar bunyi seakan-akan pokok patah di sekeliling premis kedai kami, sebaik membuka pintu, bumbung kedai termasuk bumbung tambahan di hadapan premis tercabut diterbangkan angin,” katanya.
Tambah Noraini, kerangka konkrit yang menjadi tiang dan kerangka kayu bumbung turut patah dan berselerak serta hampir menimpanya.
Sementara itu, Penghulu Mukim Sala Kecil, Aminuddin Ahmad berkata, kejadian itu turut menyebabkan pejabatnya di taman perumahan berkenaan rosak apabila bumbung diterbangkan angin dalam kejadian kedua yang berlaku tahun ini.
“Boleh dikatakan 28 rumah mangsa di mukim ini semuanya rosak teruk di bahagian bumbung dan kita telah mengarahkan mangsa membuat laporan polis untuk memudahkan proses bantuan kelak,” katanya. –UTUSAN