20,000 hadir sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat Negeri Sembilan

20,000 hadir sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat Negeri Sembilan

TUANKU Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan memeriksa kawalan kehormatan pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Sembilan n di Padang Majlis Bandaraya Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN:  Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan mencemar duli ke majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, hari ini. 

Baginda yang diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud disambut oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim. 

Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 8.15 pagi itu disusuli dengan lintas hormat helikopter jenis Agusta A109 LOH Pasukan Udara Tentera Darat dengan membawa Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan.

Sebanyak 84 kontinjen merangkumi 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat negeri hari ini. Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Mejar Noor Azlan Husin; Pegawai Panji-panji Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Muhamad Khaliq Nasrudin dan Sarjan Mejar Rejimen, Pegawai Waran 1 Ahmad Abu Bakar. 

KKU turut diiringi Pancaragam Gabungan Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja (MEKENIZA) dan Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin oleh Drum Major Sarjan Mohd. Saiful Mohd.  Haniff. Turut diadakan kemudiannya bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai Menteri Besar manakala doa dibacakan oleh Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Amran Awaludin.

ORANG ramai hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang MBS, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, kehadiran bagi sambutan tahun ini adalah di luar jangkaan dengan orang ramai mula memenuhi kawasan acara seawal pukul 6 pagi. 

“Alhamdulillah kehadiran luar jangka. Tahun ini, lebih 20,000 kehadiran rakyat di negeri ini bagi memeriahkan perarakan sempena hari kemerdekaan. Inilah semangat yang ada daripada anak-anak agar semangat patriotik dapat disuburkan sejak kecil,” katanya. 

Selain itu, sambutan diserikan dengan iringan muzik dengan lagu seperti Pahlawanku, Perajurit Tanah Air, Gagah Setia, Darah Satria, Prebet Lapok, Teluk Bayu, Taat Setia dan lagu-lagu patriotik lain.

ANGGOTA tentera daripada Kem 1 Briged mengadakan persembahan sebagai simbolik penutup persembahan pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang MBS, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Turut dipertonton adalah aset artileri Angkatan Tentera Malaysia, aset Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Juga diadakan persembahan khas bertajuk Semesra Aur Dengan Tebing menggabungkan persembahan tarian, bacaan puisi yang melibatkan pelakon, Vanida Imran dan pesilat negara, Mohd Al-Jufferi Jamari dan beberapa artis lain yang diselaraskan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS). 

Sambutan turut diserikan dengan tarian kebudayaan daripada Soka Gakkai, Unique Art, Kumpulan Kebudayaan Sewang Lanok Kampung Parit Gong (Jelebu) dan Persatuan Seni Silat Tanah Baru Chemandee. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya