2 lelaki menyamar polis rompak warga asing dipenjara 4 tahun

2 lelaki menyamar polis rompak warga asing dipenjara 4 tahun, 2 sebatan

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbuatan dua lelaki yang merompak seorang warga asing dengan menyamar sebagai polis, membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Al Shafik Irwanshah, 26, dan Ahmad Ruhaifi Sufri Saupi, 30, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap pada 5 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan pisau terhadap seorang lelaki warga Myanmar, Kaung Khant Zaw dengan mengambil telefon bimbit milik mangsa yang sehingga menyebabkan kerugian RM1,800.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Mutiara Fadason, Taman Fadason Kepong di sini, pukul 5.40 petang pada 18 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka memohon hukuman ringan atas alasan penanggung utama keluarga.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh dan masyarakat.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa yang sedang menunggu lif di tingkat 18 di flat itu didatangi dua tertuduh yang memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis.

Dua lelaki itu kemudian mengarahkan mangsa masuk ke dalam sebuah rumah dan meminta pasport milik pengadu untuk semakan disyaki tamat tempoh sebelum mengacukan pisau ke arahnya dan mengambil telefon bimbit milik mangsa.

Kedua-dua tertuduh kemudian ditahan pada 5 Ogos lalu selepas menerima laporan polis daripada mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya