MELAKA: Kes penderaan kanak-kanak berada di tempat kedua tertinggi daripada keseluruhan laporan yang diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka melalui insiatif Kod QR Prih@tinJkmMelaka, sejak dilancarkan 2 Mei lalu.
Pengarah JKM negeri, Zulkifli Hanifah berkata, pihaknya menerima sebanyak 4,121 aduan yang mana 192 kes merupakan laporan berkenaan penderaan kanak-kanak.
Beliau berkata, kebanyakan laporan penderaan tidak melibatkan kejadian serius dan setakat ini hanya 12 kes telah disahkan bermula awal tahun ini sehingga bulan lalu.
“Berbanding tahun lalu 88 kes sehingga Ogos, memang banyak penurunannya dan kes-kes yang berlaku pada tahun ini memang dalam pengetahuan kita, namun sebahagiannya bukanlah kes serius.
“Aduan-aduan dibuat di Kod QR Prih@tinJkmMelaka ini lebih kepada keprihatinan dan kebimbangan masyarakat, ada situasi di mana anak itu hanya dipukul sedikit atau dirotan, ini tidak dikategorikan sebagai penderaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan kerusi roda di Merlimau di sini.
Tambah Zulkifli, mengikut pecahan sebanyak 2,330 kes melibatkan kelulusan bantuan kewangan, kes penderaan kanak-kanak (192), kanak-kanak terlibat akhlak (103), taska tidak berdaftar (42) dan Klien Khidmat Bantu di Rumah (232).
Jelasnya, hampir 99 peratus aduan telah diselesaikan melalui oleh pasukan pengendali dalam tempoh ditetapkan iaitu selama tujuh hari.
“Kita juga merekodkan aduan di bawah Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) sebanyak 415 kes, kes di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (16), orang papa (24) dan perkhidmatan psikologi dan kaunseling (719),” katanya. – UTUSAN