18,000 penoreh getah pilih ‘cuti’ elak tanggung rugi harga rendah

18,000 penoreh getah pilih ‘cuti’ elak tanggung rugi harga rendah

Kira-kira 533,000 hektar kebun getah terbiar yang menjadi antara punca pengeluaran getah asli sektor estet semakin berkurangan berbanding sektor pekebun kecil. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan pe­ningkatan kos untuk menjalankan aktiviti menoreh getah menyebabkan 18,000 daripada 28,528 penoreh getah seluruh negara memilih ‘bercuti’ untuk mencari peluang pekerjaan lain yang lebih menguntungkan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (Pergetah), Mohd Taufik Yaacob berkata, penoreh getah memilih untuk bekerja di sektor-sektor lain bagi menanggung kos sara hidup sendiri selepas tidak mendapat pulangan daripada pekerjaan sebagai penoreh.Menurut beliau, penoreh getah terpaksa berdepan dengan peningkatan kos terutama daripada pelbagai barangan keperluan untuk menoreh, namun, harga lantai semakin rendah sehingga tidak pulang modal.

“Punca utama kebanyakan penoreh getah ni ‘tidak aktif’ adalah disebabkan harga komoditi yang terlampau rendah dan tidak memberi pulangan baik kepada mereka. Sebab baja, peralatan-peralatan untuk menoreh dan sebagainya semakin mahal.

“Namun, harga getah tetap rendah sehinggakan penoreh rasa tidak berbaloi untuk terus menoreh. Jadi mereka mencari pekerjaan lain berbanding terus menanggung rugi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar me­laporkan, kerajaan akan mene­liti punca menyebabkan rakyat sudah tidak lagi memilih untuk menoreh getah berikutan harga lantai getah sekerap yang rendah.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sememangnya terdapat permintaan supaya kerajaan meneliti semula harga lantai sekerap bagi mendorong pekebun kecil getah kembali menoreh.

“Itu memang permintaan dan kami sedang mengkaji dan berharap dalam belanjawan yang akan datang dapat menye­maknya semula. Apa yang lebih penting untuk kita memahami di peringkat akar umbi mengapa orang tidak menoreh apakah harga yang munasabah untuk menggalakkan mereka menoreh.

“Ramai yang minta RM3, RM4 pun ada, kita kena lihat keseluruhan data itu nanti supaya akhirnya kita dapat menggalakkan orang untuk menoreh. Pelbagai aktiviti kita laksanakan di samping meneruskan aktiviti mengeluarkan getah beku dan menggalakkan penghasilan susu getah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Taufik berkata, selain harga yang rendah, penoreh getah juga membuat keputusan untuk tidak aktif dalam menoreh getah disebabkan keadaan cuaca terkini yang panas di seluruh negara.

“Sekiranya harga tinggi, kalau hujan sekali pun, penoreh getah tetap dapat menampung kos untuk setahun. Maknanya jika boleh menoreh selama enam ke tujuh bulan pun tetap dapat menampung saraan bagi 12 bulan.

“Tetapi sekarang ni dengan keadaan cuaca, penoreh hanya boleh menorah dalam empat bulan Sahaja. Jadi dengan harga rendah dan pendapatan selama empat bulan tu memang sukar untuk tamping kos sara hidup selamasetahun,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN