17 pokok dalam pasu, 2 ketulan mampat sah kanabis - Pegawai kimia

17 pokok dalam pasu, 2 ketulan mampat sah kanabis – Pegawai kimia

YASIN SULAIMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbicaraan hari pertama kes berkaitan dadah melibatkan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman diberitahu, seorang pegawai di Jabatan Kimia mengesahkan 19 beg plastik mengandungi dua ketulan mampat dan 17 pokok dalam pasu yang diterimanya adalah kanabis.

Dr. J. Saravanan Kumar, 48, yang bertugas di Bahagian Narkotik jabatan itu memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kesemua ketulan mampat dan tumbuhan yang diambil daripada pasu itu, diterima daripada Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz pukul 4.18 petang, 28 Mac lalu.

“Saya memeriksa kesemua beg plastik yang mana dua daripada beg plastik berisi ketulan mampat. Kemudian saya menerima 17 pasu bertanda yang juga selepas dianalisis adalah kanabis,” kata saksi pendakwaan pertama ketika membacakan penyataan saksinya.

Menurut Saravanan, beliau memulakan analisis dengan mencabut pokok dari pasu-pasu yang berisi tanah selain berat pokok yang dicabut itu ditimbang menggunakan penimbang elektronik yang dikalibrasi dan ketinggian pokok diukur menggunakan pembaris.

Beliau kemudian menjalankan skema analisis iaitu empat kaedah ujian ke atas pokok-pokok iaitu pemeriksaan fizikal secara visual dan menjalankan pemeriksaan ke atas keseluruhan pokok.

“Pokok adalah dari satu jenis tumbuhan yang sama (Kanabis) dan tiada bahan asing,” katanya pada sesi pemeriksaan utama.

Saksi turut ditanya Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengenai pengetahuannya berhubung penanaman dan penjagaan pokok kanabis.

Saksi berkata, pengetahuan melalui pembacaan menunjukkan penanaman kanabis hanya memerlukan biji benih dan suhu yang sesuai.

“Selain biji benih dan suhu, proses penanaman Kanabis memerlukan pencahayaan yang sesuai untuk membolehkan tumbuhan ini bercambah. Penanaman boleh dilakukan melalui sumber pencahayaan yang sesuai seperti penggunaan cahaya ultraviolet,” kata saksi itu.

Sejurus selepas selesai disoal pihak pendakwaan ketika pemeriksaan utama, saksi itu tidak disoal balas oleh peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin. Perbicaraan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin bersambung esok.

Mengikut pertuduhan pertama, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 47, didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama. Pertuduhan mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan. Sementara bagi pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya