IPOH: Seramai 1,505 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak ditugaskan bagi membantu sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, penugasan selama lima hari itu melibatkan warga polis dari 15 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) selain anggota dari Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh.
Selain itu katanya, seramai 84 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak turut ditugaskan bagi penugasan pada PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu.
“Kesemua pegawai dan anggota yang terlibat dalam penugasan ini diharap dapat mengekalkan tahap profesional, Integriti dan disipilin terbaik sepanjang bertugas di Kelantan nanti.
“Sebagai agensi penguatkuasa utama di dalam negara, kita akan terus berdiri dan kekal komited bagi mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam dalam apa juga situasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Bantuan Sumber Manusia PDRM Perak yang akan bertugas di PRN Kelantan 2023 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Menurut beliau, warga polis Kontinjen Perak juga diingatkan agar tidak terlibat dalam sebarang situasi mengakibatkan ketegangan hingga mewujudkan implikasi yang boleh mencalarkan imej pasukan.
“Kawal sehabis baik emosi, sentiasa tenang dan berhemah terutama apabila berhadapan dengan situasi yang berbentuk provokasi.
“Pasakkan dan tanamkan tekad yang kuat untuk melaksanakan amanah dan tugas ini dengan penuh integriti, ikhlas dan sabar,” katanya. – UTUSAN