IPOH: Sejumlah 14,000 naskah al-Quran tanpa perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah diganti dalam Program Jom Exchange al-Quran (JEQ).
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, jumlah itu adalah rekod dari Januari hingga Jun tahun ini.
“Kita telah membuat Program JEQ iaitu ke arah sifar al-Quran tiada perakuan KDN.
“Setakat ini kita sudah pun tukar al-Quran yang tiada perakuan kepada al-Quran yang ada perakuan sebanyak 14,000 daripada masyarakat di mana mereka menyerah al-Quran yang tiada perakuan ini dan diganti dengan al-Quran yang ada kelulusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Seminar Penerbitan Teks al-Quran dan Rasmi Uthmani Tahun 2023 di sini hari ini.
Seminar itu diadakan dengan fokus kepada golongan mualaf supaya memilih dan menggunakan al-Quran yang mempunyai kelulusan dan diperakui oleh KDN.
Dalam pada itu, Nik Yusaimi berkata, Program JEQ adalah berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat serta memilih dan membaca al-Quran yang diluluskan.
Tambahnya, usaha itu turut disokong dengan elemen penguatkuasaan apabila dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, rampasan al-Quran yang tiada perakuan mencecah lebih RM450,000 dari segi nilai.
Katanya, KDN tegas dalam hal itu bagi mengelakkan kekeliruan dan pembacaan yang salah dalam masyarakat selain soal keselamatan.
“Juga berunsurkan keselamatan yang mana pihak-pihak yang mempunyai agenda tersendiri menyeleweng ayat-ayat al-Quran yang dipetik daripada ayat-ayat yang salah untuk menjayakan agenda-agenda mereka yang tertentu,” katanya.
Kata beliau lagi, antara kesalahan lazim al-Quran yang tiada perakuan ialah seperti huruf tidak mencukupi dan kesalahan tanda-tanda baris.
Tambahnya, setiap al-Quran yang diimport juga perlu melalui proses permohonan dan tapisan KDN serta antara negara pembekal ialah Indonesia dan negara-negara Asia Barat serta al-Quran elektronik dari China. – UTUSAN