14 individu beragama Islam ditahan minum arak - Utusan Malaysia

14 individu beragama Islam ditahan minum arak

ANGGOTA penguat kuasa agama JAIPk yang menjalankan pemeriksaan di sebuah pusat hiburan di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seramai 14 individu beragama Islam ditahan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) selepas didapati mengambil minuman keras di sebuah pusat hiburan di sini kelmarin.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita itu ditahan dalam operasi pada pukul 11.45 malam.

Katanya, pemeriksaan di premis tersebut dijalankan oleh 30 anggota penguat kuasa agama dibantu 11 anggota penguat kuasa daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Hasil daripada pemeriksaan, didapati seramai 39 pengunjung beragama Islam berada di dalam premis. Kesemua mereka ditahan untuk dibawa ke Pejabat Penguatkuasaan JAIPk bagi tujuan ujian saringan alkohol.

“Hasil ujian tersebut, 14 orang daripada mereka berusia antara 20 hingga 51 tahun ditahan selepas didapati positif alkohol,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua mereka kemudian dilepaskan dengan bon jaminan penguat kuasa dengan seorang penjamin dalam kalangan keluarga terdekat mengikut Seksyen 23, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004.

Katanya, mereka diperintahkan hadir ke Ibu pejabat Penguatkuasa JAIPk di antara 4 hingga 6 September depan untuk diambil keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 59, Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 atas kesalahan meminum minuman yang memabukkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya