SEPANG: Walaupun jumlah kuota musim kali ini kembali normal, jumlah jemaah Malaysia yang disahkan meninggal dunia ketika di Tanah Suci hanya mencatatkan 13 orang.
Malahan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, daripada jumlah itu cuma tiga yang meninggal sebelum sempat wukuf dengan sebahagian besarnya meninggal disebabkan pneumonia atau keradangan.
Menurut beliau, kebanyakan yang meninggal dunia itu berusia dalam lingkungan dari 50-an hingga 70-an, manakala ada lagi baki lima jemaah masih dirawat.
“Perkembangan mereka dipantau rapi oleh pegawai haji dari Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dan akan pulang apabila dibenarkan oleh pihak perubatan Arab Saudi,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menyambut kepulangan kumpulan terakhir 270 orang jemaah haji negara.
Mohd. Na’im berkata, beliau turut membawa isu kematian jemaah pada kali ini ketika perbincangan dengan Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa selepas sesi mesyuarat Kabinet pada minggu lalu.
Ujarnya, meskipun angka kali ini tidaklah seramai pada 2018 dan 2019 lalu iaitu sebelum pandemik Covid-19 berlaku, pihak Kementerian Kesihatan juga memandang serius isu itu dan akan melakukan sesi ‘post-mortem’ bagi meneliti langkah penambahbaikan untuk persiapan musim haji 2024 kelak.
Pihak Tabung Haji juga kata beliau, akan menerima laporan maklum balas termasuk isu kelemahan yang timbul sepanjang musim haji lalu untuk persediaan musim akan datang.
Pada tahun lalu, Malaysia hanya mencatatkan seorang jemaah haji meninggal dunia berbanding seramai 24 orang meninggal pada 2019 dan 40 orang pada tahun sebelumnya.
Malaysia tidak menghantar jemaah pada 2020 dan 2021 susulan penutupan sempadan oleh kerajaan Arab Saudi disebabkan oleh kebimbangan isu penularan kes wabak Covid-19. – UTUSAN