116,000 slot pendaftaran perniagaan percuma kepada pelajar IPT

116,000 slot pendaftaran perniagaan percuma ditawarkan kepada pelajar IPT

FUZIAH Salleh (tiga dari kiri) bersama Mohammad Yusof Apdal (tengah) menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz (kiri); Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Zahari Ismail (kanan) dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman (dua dari kanan) pada majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara SSM dan KPT, hari ini. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 116,000 slot pendaftaran perniagaan secara percuma ditawarkan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dengan peruntukan geran berjumlah RM7 juta di bawah Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP).

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif dalam kalangan IPT.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, kerjasama strategik itu bertujuan memberi peluang lebih ramai mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan di samping mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan mendaftarkan perniagaan dalam usaha membangunkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Katanya, melalui MoU itu, SSM membuka peluang kepada para pelajar IPT sepenuh masa untuk memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP) yang diperkenalkan pada 23 Disember 2020 untuk membantu golongan usahawan kumpulan B40 mendaftarkan perniagaan secara percuma.

“Sejak diperkenalkan sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 77,258 perniagaan didaftarkan di bawah SPPP dan daripada jumlah tersebut, 33,299 perniagaan di bawah kategori pelajar IPT sepenuh masa.

“Melalui MoU ini, KPDN berharap aktiviti kesedaran dan latihan dapat diperluaskan dan dipergiatkan bagi menyemarakkan daya niaga dan melahirkan lebih ramai usahawan dikalangan pelajar untuk menceburi bidang perniagaan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media menandatangani MoU antara KPT dan SSM di Menara SSM Sentral, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri KPT, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kolaborasi KPT bersama SSM ini selari dengan Aspirasi Lonjakan satu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 hingga 2025 iaitu melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

Selain itu, katanya, mahasiswa juga berpeluang memanfaatkan SSM BizTrust yang diberikan secara percuma bertujuan mewujudkan persekitaran perniagaan dalam talian yang berhemah di samping membantu merapatkan jurang kepercayaan antara peniaga dan pembeli.

Menurutnya, fokus KPT tahun ini adalah memupuk minda keusahawanan sosial, pengaktifan koperasi siswa serta galakan terhadap penglibatan pelajar dalam perniagaan kecil di kampus.

“Model pelaksanaan yang lebih segar dan baru juga diperkenalkan bagi menjamin keberkesanan dan kelangsungan pelaksanaan inisiatif ini.

“Malah, dana pembiayaan yang menarik turut disediakan sebagainya pemangkin bagi menggalakkan kejayaan pelajar dalam melaksanakan inisiatif ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN