113 pemberimilikan tanah tanah diluluskan kerajaan negeri tahun ini - Utusan Malaysia

113 pemberimilikan tanah tanah diluluskan kerajaan negeri tahun ini

MOHD. Shukri Ramli (kanan) menjawab pertanyaan lisan dikemukakan sewaktu Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kangar, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 113 pemberimilikan tanah tahun ini di mana enam hak milik tanah turut dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada pemohon terlibat.

Daripada jumlah itu, sebanyak 107 lagi permohonan masih dalam proses pendaftaran hak milik yang hanya boleh dilaksanakan selepas pemohon membuat bayaran penuh Notis 5A.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, Notis 5A yang dikeluarkan itu perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh notis bayaran disampaikan.

“Berdasarkan rekod Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, sebanyak 360 Notis 5A yang dikeluarkan masih mempunyai bayaran tertunggak manakala sebanyak 101 Notis 5A masih belum dijelaskan.

“Menurut Akta 828 Kanun Tanah Negara, sekiranya bayaran tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan, Notis 5A tersebut terbatal dan tanah berkenaan akan kembali berstatus tanah kerajaan serta boleh dibuka untuk permohonan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dikemukakan oleh Saad Seman (PN-Chuping) berhubung jumlah terkini hak milik tanah telah diselesaikan kerajaan negeri bagi tahun ini.

Mengulas mengenai isu lot lidi di seluruh Perlis, Mohd. Shukri berkata, dasar sedia ada di negeri ini sememangnya tidak membenarkan pecahan tanah lot lidi dilaksanakan dan bercanggah dengan peraturan digariskan dalam Kanun Tanah Negara (KTN).

“Sebagai makluman, pada tahun ini sahaja, PTG negeri secara proaktif mengesan dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas dua kes jualan lot lidi melibatkan tanah kerajaan di Batu Bertangkup, Chuping dan tanah individu di Alor Redis, Arau,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohd. Shukri berkata, setakat ini, sebanyak 1,247 kes tangkapan loteri dalam talian telah diterima bermula bagi tempoh sejak 2018 sehingga Jun tahun ini.

Tambahnya, tindakan perundangan juga turut diambil dengan membuat tuduhan ke atas semua tangkapan berkenaan di mahkamah.

“Selain itu, tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) ke atas premis atau kedai yang menjalankan kegiatan loteri itu juga telah dibuat bagi menghentikan pengoperasian mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya