IPOH: Lebih 10,000 orang menghadiri Sambutan Ambang Kemerdekaan peringkat negeri Perak sempena Hari Kebangsaan 2023 yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan kepemimpin dan pentadbir kanan negeri.
Kawasan sambutan ambang kemerdekaan dipenuhi orang ramai sejak pukul 8 malam dengan sambutan diserikan pelbagai persembahan nyanyian, seni dan kebudayaan di pentas utama sebagai menantikan tengah malam.
Dalam ucapannya, Saarani mengingatkan semua khususnya generasi baharu untuk menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh keinsafan sebagai mengenang perjuangan negara mendapatkan Kemerdekaan.
Katanya, dalam kegirangan meraikan sambutan, jangan dilupa pengorbanan para pejuang Kemerdekaan yang menumpahkan keringat dan darah.
“Saya sebutkan perkara ini, supaya kita semua khususnya anak-anak muda untuk memaknakan sambutan kemerdekaan ini dengan keinsafan.
“Keinsafan bahawa kemakmuran dan keamanan yang dinikmati hari ini tidak datang secara kebetulan, sebaliknya dibayar dengan jerih perih, ditebus dengan nyawa dan tangisan, sehingga akhirnya kita dapat mengecapi erti sebenar kebebasan,” katanya. – UTUSAN