‘10 Kata Tekad DUN Bandar’, hasrat Armi eksplorasi kehendak rakyat

‘10 Kata Tekad DUN Bandar’, hasrat Armi eksplorasi kehendak rakyat

ARMI Irzan Mohd. beramah mesra dengan seorang warga emas dalam sesi kempen rumah ke rumah di Kampung Nesan 4, Kuala Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sosok tubuh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd. bukanlah asing bagi penduduk sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar.

Khidmat baktinya selama ini sering mendapat penghargaan daripada penduduk terutama sepanjang tempoh perit Covid-19 yang melanda negara satu ketika dahulu.

Dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini, Armi mendapat kepercayaan pucuk pimpinan partinya untuk kembali merampas DUN Bandar setelah dua penggal berturut-turut berada di bawah pentadbiran Pas.

Armi ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, pihaknya menetapkan ’10 Kata Tekad DUN Bandar’ sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi pada PRN yang akan berlangsung Sabtu ini.

Menurutnya, fokus pertama adalah memastikan bantuan dan pembangunan perniagaan diberi khusus kepada usahawan dan penjaja kecil dalam bandar untuk menaik taraf sosioekonomi keluarga mereka.

“Tekad kedua saya ialah mahu memperkasa sektor pelancongan dalam DUN Bandar kerana akan memberi peluang pekerjaan kepada anak muda.

“Janji ketiga saya pula adalah untuk memasang WiFi percuma di semua rumah ibadat dan balai raya dalam DUN Bandar kerana itu adalah kunci kepada akses ilmu pengetahuan pada zaman sekarang,” katanya.

Armi Irzan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Oleokimia) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut berazam memberi penekanan kepada bantuan awal keperluan asas peralatan perubatan dan kesihatan secara percuma kepada warga emas serta pesakit kronik.

Katanya, isu golongan miskin bandar akan diatasi melalui peningkatan pendapatan dan kemahiran penduduk di kawasan tersebut yang boleh dicapai dengan kerjasama syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jabatan dan agensi kerajaan.

“Begitu juga dengan sektor pelancongan yang kini tertumpu di Pasar Kedai Payang akan kita tambah satu tarikan iaitu Pasar Chabang Tiga yang turut memiliki keunikan tersendiri dan mampu menjadi nadi ekonomi kedua di DUN ini.

“Bagi masyarakat Tionghoa pula, mereka tidak terpinggir kerana kita akan merancakkan lagi industri pelancongan di Kampung Cina sebagai lokasi warisan dengan pelbagai daya tarikan baharu yang memberi manfaat kepada komuniti tersebut.

“Saya juga mahu mengubah wajah baharu perkampungan Losong sebagai pusat warisan dan perusahaan keropok terkenal di Terengganu yang menjadi imej hab makanan tradisional kebanggaan penduduk negeri ini,” katanya.

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu itu juga memberi fokus kepada inisiatif memperbaharui cukai jalan dan insurans motosikal secara percuma kepada pekerja penghantar makanan dan penjaja bermotor di DUN Bandar setiap dua tahun.

“Janji terakhir saya adalah memastikan tiada pelajar yang tercicir melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Terlalu banyak peluang untuk belia disediakan kerajaan terutama dalam bidang TVET yang menjanjikan pendapatan lumayan. Insya-Allah kita bantu semua melalui pelbagai kursus yang diminati terutama dalam bidang kemahiran tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya