KLANG: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri Istana Alam Shah, hari ini.
Mereka adalah, Ng Sze Han (Kinrara), Izham Hashim (Pandan Indah), Borhan Aman Shah (Tanjung Sepat), Ng Suee Lim (Sekinchan), Datuk Rizam Ismail (Sungai Air Tawar) dan Najwan Halimi (Kota Anggerik).
Selain itu, Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama), Papparaidu Veraman (Banting), Dr. Mohammad Fahmi Ngah (Seri Setia) dan Anfaal Saari (Taman Templer) turut mengangkat sumpah sebagai anggota MMKN bagi penggal ke-15 Kerajaan Negeri Selangor.
Kesemua mereka mengangkat sumpah dalam satu istiadat yang bermula pada pukul 2 petang dan turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ikrar Aku Janji itu kemudian ditandatangani beliau bersama Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab sebagai saksi.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan kepada kesemua ADUN berkenaan.
Pada sebelah pagi, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah jawatan dan Ikrar Aku Janji sebagai Menteri Besar Selangor di hadapan Sultan Sharafuddin sebelum Surat Cara Pelantikan diserahkan baginda kepada beliau dalam istiadat yang bermula pukul 11.
Sumpah Jawatan Menteri Besar dan Ikrar Aku Janji itu kemudian ditandatangani beliau bersama Hakim Utama Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab sebagai saksi.
Istiadat angkat sumpah itu turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Selain itu, Amirudin juga mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai ahli ex-officio Dewan Diraja Selangor.
Gabungan PH-BN memenangi pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu dengan menguasai 34 daripada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus dapat membentuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15.
Selain kerusi-kerusi yang dimenangi Amirudin dan anggota MMKN, gabungan itu memenangi kerusi antaranya Kuala Kubu Bharu (Lee Kee Hiong), Lembah Jaya (Syed Ahmad Syed Abd. Rahman Alhadad), Dusun Tua (Datuk Johan Abd. Aziz), Kajang (David Cheong) dan Kota Damansara (Izuan Kasim).
Selain itu, PH turut menguasai kawasan seperti Bukit Gasing (Rajiv Rishyakaran), Meru (Mariam Abd. Rashid), Pandamaran (Leong Tuck Chee), Sentosa (George Gunaraj) dan Kota Kemuning (Preakas Sampunathan). – UTUSAN
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor:
Menteri Besar Selangor: Datuk Seri Amirudin Shari – Sungai Tua (PH-PKR)
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN):
- Ng Sze Han – Kinrara (PH-DAP)
- Izham Hashim – Pandan Indah (PH-AMANAH)
- Borhan Aman Shah – Tanjung Sepat (PH-PKR)
- Ng Suee Lim – Sekinchan (PH-DAP)
- Datuk Rizam Ismail -Sungai Air Tawar (BN-UMNO)
- Najwan Halimi – Kota Anggerik (PH-PKR)
- Jamaliah Jamaluddin – Bandar Utama (PH-DAP)
- Papparaidu Veraman – Banting (PH-DAP)
- Dr. Mohammad Fahmi Ngah – Seri Setia (PH-PKR)
- Anfaal Saari – Taman Templer (PH-AMANAH)