MELAKA: Kerajaan Negeri bercadang untuk menghias kampung dan taman perumahan di negeri ini dengan peletakan mercu serta papan tanda pantun warisan bagi menggamit kehadiran pengunjung sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, sebanyak 701 buah kampung dan 1,021 taman perumahan dijangka terlibat dengan inisiatif tersebut.
Kata beliau, projek 1 Kampung 1 Pantun bakal mewarnai kemeriahan TMM 2024 dan keunikan pantun khazanah warisan Melaka dapat dihayati oleh pelancong dan pengunjung.
“Melaka terkenal sebagai bumi yang kaya dengan warisan seni dan budaya. Dalam usaha menggamit kehadiran lebih ramai pelancong, Melaka bakal menyajikan keunikan pantun-pantun warisan yang bakal menghiasi koridor dan pintu masuk ke negeri ini.
“Pantun-pantun terbaik akan memartabatkan lagi seni budaya warisan pantun Melaka. Saya percaya dengan memperagakan seni dan warisan budaya Melayu seperti pantun, Melaka akan menjadi tumpuan kepada pencinta bahasa rumpun Melayu di seluruh nusantara,” katanya dalam ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Ab. Rauf, bahagian teknologi dan maklumat akan menguruskan pangkalan data bagi mengumpulkan pantun warisan terbaik sebelum dipaparkan di mercu papan tanda.
Menurutnya, pantun-pantun terbaik juga akan dibukukan untuk dijadikan bahan khazanah negeri.
“Usaha ini akan dibantu oleh Institut Tun Perak serta agensi-agensi di bawah portfolio pelancongan, warisan, seni dan budaya selaku sekretariat dalam mengkoordinasi serta membuat pemilihan pantun warisan terbaik bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (Japerun) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Pertandingan penulisan pantun di sekolah-sekolah sedang giat dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka dalam usaha menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada seni dan warisan bahasa terutamanya pantun dalam kalangan generasi muda,” ujarnya. – UTUSAN