Yayasan Arshad Ayub sumbang dana RM200,000

Yayasan Arshad Ayub sumbang dana RM200,000 kepada Fakulti Perakaunan

MOHD. Ibrahim Mohd. Zain (dua dari kanan) dan Roziah Mohd. Janor (dua dari kiri) menunjukkan surat niat bagi sumbangan daripada Yayasan Arshad Ayub kepada pihak Fakulti Perakaunan UiTM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Yayasan Arshad Ayub menyampaikan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut kenyataan Bahagian Komunikasi Korporat UiTM, dana tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk membiayai yuran pengajian program profesional Peperiksaan Badan Akauntan Bertauliah (ACCA), Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) bagi 37 pelajar Fakulti Perakaunan di tahap pengajian Diploma dan Sarjana Muda.

“Penerimaan dana dari Yayasan Arshad Ayub menambahkan lagi motivasi sekali gus memberikan impak yang positif dalam menyemarakkan lagi semangat cinta ilmu dalam kalangan pelajar UiTM.

“Majlis ini merupakan sebagai satu simbolik Yayasan Arshad Ayub dalam menyantuni harapan besar Allahyarham Tun Arshad Ayub untuk membalas budi dan menyempurnakan nilai
kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

Majlis penyerahan dana disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Arshad Ayub, Tan Sri Mohd. Ibrahim Mohd. Zain kepada Dekan Fakulti Perakaunan, Prof. Dr. Haslinda Yusoff dan disaksikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor.

Jelas kenyataan itu lagi, perjuangan Arshad dalam memartabatkan penjanaan ilmu pengetahuan secara berterusan dalam menghasilkan kualiti kehidupan yang lebih bermakna adalah begitu sinonim dengan penyerahan sumbangan dana yayasan tersebut bagi tujuan kecemerlangan akademik para pelajar di institusi pendidikan.

Jelasnya lagi, Allahyarham tetap dikenang sebagai tokoh pendidikan negara yang begitu dekat dengan UiTM dan Fakulti Perakaunan.

“Selain memperkenalkan program profesional ACCA ke Fakulti Perakaunan, Allahyarham juga telah berusaha menjadikan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dan pembelajaran di UiTM.

“Hasrat dan legasi Allahyarham tetap diteruskan melalui inisiatif dana Yayasan Arshad Ayub ini,” ujarnya.

Selain penyerahan dana tersebut, pihak yayasan turut menyampaikan dua cek bernilai RM1,000 setiap satu kepada dua pelajar Fakulti Perakaunan.

Mereka yang bertuah itu adalah Danish Zafran Bazam, pelajar yang telah berjaya meraih ACCA Top Prize Winner 2023.

Manakala Nursyarah Najwa Abdullah pula adalah pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan dwi kelayakan bersama ACCA.

Apa yang lebih membanggakan, beliau terus lulus kali pertama kesemua kertas peperiksaan ACCA yang diduduki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya