KUALA LUMPUR: Penyanyi, Yantzen, 64, memaklumkan masih bertarung dengan penyakit misteri yang dialaminya sejak tiga bulan lalu.
Kata Yantzen atau nama sebenarnya Yantzen Juniwan dia mencari iktihar dengan menjalani rawatan secara tradisional untuk merawat penyakit tersebut.
“Saya bersyukur masih diberi tenaga walaupun sebenarnya saya sedang sakit. Ia semakin pulih tanpa menerima rawatan daripada doktor.
“Rasa sakit itu saya tanggung 24 jam sejak tiga bulan lalu. Ia mengakibatkan kaki saya kebas, saya pun tak pasti penyakit apa.
“Saya cuma beriktihar dengan rawatan tradisional sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sidang media konsert Semangat Zaman pagi tadi.
Kata Yantzen lagi, penyakit tersebut turut mengganggu tidur malamnya sehingga mengakibatkan dia sentiasa keletihan.
“Kesakitan itu dirasakan lebih-lebih ketika hendak tidur waktu malam. Sebab itu saya katakan ia menyerang 24 jam.
“Saya boleh tahan sakit itu kalau ia menyerang waktu pagi. Tapi lain keadaannya kalau malam, ketika saya perlu berehat. Penyakit ini ganggu waktu rehat saya.
“Kadang-kadang penyakit ini membuat saya berhalusinasi sehingga mengakibatkan fikiran saya bercelaru lebih-lebih ketika terpaksa berjumpa orang ramai.
Ujar Yantzen, dia ambil pusing terhadap telahan orang sekeliling tentang penyakit dialaminya dan memohon kepada Allah agar dia segera diberikan kesembuhan.
“Orang nak cakap apa, cakaplah. Keadaan saya sudah memang begitu. Sebab itu saya elak membuka ruang untuk benarkan orang ambil tahu tentang saya sebab saya sendiri tak tahu.
“Saya cuma minta Allah berikan yang terbaik untuk saya. Sekarang saya bergantung kepada rawatan tradisional dan amalkan zikir dan bertakafur,” ujarnya.