PUTRAJAYA: Kerajaan perlu membuka pusat jagaan kanak-kanak (child care centre) dengan bantuan subsidi yuran penjagaan bagi membantu lebih ramai wanita kembali bekerja sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara.
Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Jumiah Jonid berkata, lebih 80 peratus wanita di negeri Selangor khususnya terpaksa berhenti kerja kerana kos penjagaan anak yang semakin meningkat.
Beliau berkata, kerajaan boleh memberikan bantuan terus kepada pusat jagaan tersebut yang dicadangkan dapat dimulakan di Puncak Alam, Selangor bagi membolehkan mereka menawarkan yuran lebih rendah kepada ibu bapa yang menghantar anak masing-masing.
“Terdapat kira-kira 16,000 penduduk di Puncak Alam di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN)Jeram akan memperoleh manfaat daripada penubuhan child care centre ini sebelum diperluaskan di seluruh Selangor.
“Inisiatif ini dalam usaha membantu wanita dan menggalakkan wanita bekerja dalam meningkatkan ekonomi keluarga dalam menangani kos sara hidup semakin tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jumiah berkata, golongan wanita juga boleh diberikan peluang untuk mengusahakan penubuhan pusat jagaan ini dengan sokongan insentif ditawarkan kerajaan.
Pada masa sama, katanya, aspek latihan sebagai persediaan untuk penubuhan pusat jagaan ini turut diberikan agar anak-anak yang dihantar mendapat bimbingan daripada khidmat tenaga profesional.
“Sesi bimbingan dan khidmat nasihat bagi proses penubuhan child care centre berlesen juga akan diberikan kepada pengusaha.
“Bantuan dari kerajaan itu diberikan terus kepada child care centre tersebut. Dengan cara itu, harga yuran akan menjadi lebih rendah dan pastinya sangat bermanfaat kepada keluarga,” katanya. – UTUSAN