PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, terdapat ‘kacang hantu’) dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pada masa sama, beliau turut bersetuju kedua-dua jabatan berkenaan disiasat untuk mengelak pertuduhan secara rambang.
“Saya pernah berada di kementerian itu dan kedua-dua jabatan ini banyak yang dituduh pelbagai. Jadi untuk mengelakkan pertuduhan itu terus berjalan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengambil langkah supaya siasatan dilakukan.
“Jika ia benar (amalan rasuah dan salah guna kuasa), mesti diperbaiki. Jika tidak benar mesti dilakukan pencerahan. Kita tidak wajar melakukan tuduhan secara rambang dan dalam perkara ini yang penting adalah keberkesanan terhadap langkah-langkah yang dilakukan oleh kedua-dua jabatan berkenaan.
“(Ini) kerana mungkin ada kacang-kacang hantu, ia memang wujud dan sentiasa wujud oleh sebab itu kacang hantu ini yang merosakkan susu sebelanga dan ia harus dibanteras,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Perdana Menteri semalam bahawa dua jabatan di bawah KDN iaitu JIM dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Anwar berkata, beliau menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warganegara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.
Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri berkata, beliau berasakan adalah tidak adil untuk menuduh seluruh jabatan tersebut melakukan perkara sedemikian.
“Saya amat bersetuju dengan Perdana Menteri untuk melakukannya (siasatan) tapi saya fikir tidak adil untuk menuduh seluruh jabatan itu melakukan perkara sedemikian, cukup adil jika siasatan dapat dilakukan untuk melakukan pencerahan,” ujarnya. – UTUSAN