PETALING JAYA: Niat Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, atau Watie mahu bernyanyi di majlis perkahwinannya tidak kesampaian apabila suaminya, Shuib tidak memberikan keizinan.
Namun begitu, dalam kapsyen sebuah video yang dimuat naik Watie menunjukkan wanita itu gembira apabila dapat melepaskan rasa kempunannya bernyanyi sambil diiringi petikan gitar Shuib sambil mengalunkan lagu Cinta Tak Harus Memiliki.
“Buat pertama kali dia (Shuib) sudi main gitar sambil dengar isteri bernyanyi.
“Bolehlah lepaskan kempunan sebab masa majlis perkahwinan tempoh hari, dia tak bagi isteri dia bernyanyi,” tulis Watie.
Bukan itu sahaja, Watie turut mendedahkan, Shuib sebenarnya memang mencari seorang pasangan yang mempunyai suara lunak dan boleh bernyanyi.
“Bukan senang sebenarnya si suami nak bagi isteri nyanyi.
“Sampai kadang-kadang saya tanya dia, awak kata nak cari pasangan yang pandai nyanyi tapi kenapa awak tak bagi saya nyanyi? Tak sedap ke?” Katanya.
Melihat ruangan komen, ramai yang menyukai suara Watie dan menganggap kehadirannya sangat melengkapi kekosongan dalam keluarga Shuib.
“Macam ada aura Siti Sarah hadir, mungkin Shuib merasainya juga. Terima kasih hadir dalam hidup dan menjaga anak-anak Shuib,” tulis satu komen.
“Sedap suara, buat video banyak-banyak lagi,” kata komen yang lain.
Sebelum ini Shuib dan Watie selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz di Putra Glass House pada 23 Jun lalu.
Terdahulu, Shuib berkahwin dengan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dan mempunyai empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 12; Dzahira Talita Zahra, 10; Ariq Matin, 7; dan Ayash Affan, 2. – UTUSAN