KANGAR: Di sebalik bekalan kekabu yang semakin sukar diperoleh pada masa kini, seorang warga emas masih mampu mengekalkan jualan bantal kekabu asli yang diwarisinya sejak lima dekad lalu.
Fatimah Romli, 61, masih meneruskan legasi jualan bantal kekabu itu di kedainya di tepi laluan utama Batu 19, Jalan Padang Besar di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Fatimah berkata, biarpun sukar untuk mendapatkan kekabu ketika ini, dia mencari alternatif lain bagi mendapatkan bekalan berkenaan dari negara jiran dalam menghasilkan bantal berkenaan.
“Dahulu, memang mudah untuk saya dapatkan bekalan kekabu sekitar Padang Besar, namun selepas orang-orang lama tiada, maka ia semakin sukar untuk didapati.
“Oleh sebab itu, saya terpaksa membeli bekalan di Bangkok, Thailand, bagi meneruskan jualan bantal kekabu yang telah diwarisi daripada emak saya sejak bertahun lalu,” katanya.
Tambah Fatimah, dia kebiasaannya akan membeli sebanyak 700 kilogram bekalan kekabu dalam masa tiga bulan bagi menghasilkan bantal-bantal berkenaan.
Katanya, bekalan kekabu yang diperoleh itu akan diproses sendiri olehnya bersama pekerja bagi menghasilkan bantal mengikut pelbagai saiz untuk dipasarkan kepada pelanggan.
“Selalunya saya akan upah dua pekerja untuk memasukkan kekabu ke dalam sarung dan saya sendiri akan menjahit bagi menghasilkan bantal itu,” katanya
Dalam pada itu, ibu kepada tiga anak ini berkata, dia mampu menghasilkan sekitar 30 hingga 40 bantal kekabu asli dalam masa sebulan bergantung kepada permintaan.
Katanya, bantal-bantal kekabu itu dijual pada harga bermula dari RM20 sehingga RM40 bergantung kepada saiz dan jenis.
“Bantal-bantal kekabu yang dijual ini sentiasa mendapat permintaan laris daripada orang ramai khususnya sewaktu cuti persekolahan,” katanya. –UTUSAN