KULIM: Seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas enam pertuduhan termasuk cubaan membunuh pegawai kanan polis, Selasa lalu.
Tertuduh, Loh Fatt Khong, 82, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan cubaan membunuh di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian dengan cara mengelar dada Inspektor Mustakim Mohamad Nasir di Taman Selasih, di sini pada 1.55 petang, pada 25 Julai lalu.
Hakim Mirza menetapkan tarikh penyerahan dokumen pada 10 Ogos depan dan tiada jaminan dikeluarkan atas kesalahan itu.
Sementara di Mahkamah Majistret, Fatt Khong turut membuat pengakuan sama bagi lima lagi pertuduhan iaitu khianat ke atas harta, mendatangkan kecederaan kepada pegawai polis, ugutan jenayah, mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata dan kesalahan mencuri di pasar raya.
Majistret Pracha Nanthini Balabeda menawarkan jaminan berjumlah RM12,000 bagi kesemua kesalahan itu dan menetapkan tarikh serahan dokumen pada 13 Ogos.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan seorang pegawai polis berusia 30-an menerima 36 jahitan di dada akibat terkena pisau pemotong kertas yang digunakan seorang pencuri warga emas dalam kejadian di Taman Selasih.
Dalam kejadian itu, seorang anggota polis turut cedera di kaki dan menerima lima jahitan ketika bergelut untuk menahan suspek yang melarikan diri selepas mencuri di sebuah pasar raya berhampiran. –UTUSAN