Wanita warga emas dipenjara 12 bulan cederakan lelaki Pakistan

Simbah asid: Wanita warga emas dipenjara 12 bulan cederakan lelaki Pakistan

SAIRA Abdullah (tengah) hadir di Mahkamah Majistret Selayang diiringi anggota polis bagi menghadapi pertuduhan mencederakan lelaki Pakistan dan isterinya. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Seorang wanita warga emas yang videonya tular dalam kejadian simbahan asid di lif sebuah pangsapuri minggu lalu, dihukum penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki warganegara Pakistan.

Majistret Chai Guan Hock menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Saira Abdullah, 62, selepas tertuduh yang juga seorang mualaf mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 9 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, Saira didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan cecair kimia terhadap Inam Ullah, 37, di lif sebuah blok Pangsapuri Laksamana Jaya, Kampung Laksamana, Batu Caves di sini pukul 1.10 pagi pada 4 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan.

“Sebelum ini, tertuduh mengalami kemurungan teruk dan pernah mendapatkan rawatan hospital. Dalam kejadian itu, tertuduh mendakwa dia telah diprovokasi oleh mangsa yang mahu berkawan walaupun lelaki itu sudah berkahwin.

“Tertuduh tidak boleh berfikir dengan betul dan mengambil tindakan sendiri (menyimbah cecair kimia) dan tertuduh amat menyesali perbuatannya itu,” kata Izleen.

Mendengar rayuan itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kes selain kecederaan yang dialami mangsa akibat cecair kimia.

Mengikut fakta kes, pengadu yang merupakan anak tiri perempuan kepada Inam telah menerima panggilan menyatakan bapa tirinya telah disimbah cecair kimia di lokasi kejadian.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Selayang bagi mendapatkan rawatan. Hasil pemeriksaan mendapati, Inam melecur tahap satu di bahu kanan dan belakang badan.

Sementara itu dalam prosiding sama, Saira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama iaitu mendatangkan cedera terhadap seorang Jemilah Sabda, 60, yang juga isteri kepada Inam pada tempat, waktu dan tarikh sama dan mengikut seksyen sama.

Bagi pertuduhan mencederakan Jemilah, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 12 September ini bagi sebutan kes.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pengusaha roti nan cedera akibat disimbah asid ketika ingin menaiki lif bersama anak lelaki berusia 14 tahun.

Suspek mendatangi mangsa sebelum bertindak menyimbah cecair dipercayai asid ke arah kedua-dua mangsa dari arah luar lif dan terus melarikan diri.

Ekoran kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian bahu, pipi dan mata serta belakang bahu.

Kejadian tersebut didakwa berunsurkan dengki dan tidak puas hati pihak lain ekoran seminggu sebelum kejadian, kedai makan mangsa turut musnah terbakar.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya