KULIM: Seorang wanita tabah mengurus diri sendiri termasuk melakukan kerja rumah walaupun kehilangan kedua-dua kakinya akibat kencing manis.
Rosiah Ariffin, 51, berkata, setiap hari dia perlu mengurus diri apabila suami, Rosman Awang, 52, serta anak, Muhamad Rafi, 21, keluar bekerja.
Katanya, dia kehilangan kaki sejak hampir 10 tahun lalu akibat kencing manis yang bermula dengan kaki kanannya dipotong pada 2013, sebelum sebelah lagi dipotong lima tahun kemudian.
“Saya perlu jalani rawatan dialisis dan jika ke pusat dialisis, suami atau anak akan bantu uruskan saya. Jika hari tiada dialisis, saya akan urus diri sendiri di rumah termasuk mandi,” katanya ketika ditemui di Taman Serai Setia semalam.
Terdahulu Rosiah menerima sumbangan katil khas serta lampin pakai buang daripada N. Usha Devi yang juga balu mendiang bekas Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya bersama ahli Kelab Scooter Sungai Seluang Padang Serai (SSPS).
Menurut Rosiah, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori mencipta sebuah kereta lungsur untuk memudahkan pergerakannya di dalam rumah selain adakalanya perlu menggunakan kerusi roda.
“Kereta lungsur ini hasil rekaan sendiri oleh suami memudahkan pergerakan saya terutama ke bilik air,” katanya.
Jelasnya, dia menerima pencen ilat RM1,000 sebulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selain rawatan dialisis dan RM300 diperlukan untuk perbelanjaan lampin pakai buang serta ubat-ubatan.
Sementara itu, Usha Devi berkata, dia menggunakan wang pencen mendiang suaminya untuk membantu mereka yang amat memerlukan bantuan terutama bekas tentera yang tidak berpencen.
Mereka yang ingin membantu boleh hubungi 017-4810305 atau menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0212329000198060 atas namanya. – UTUSAN