LUMUT: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memohon kerajaan meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) pada tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya.
Presidennya, Datuk Sharuddin Omar berkata, PKKP yang akan ditamatkan hujung tahun ini, wajar diteruskan sebagai menghormati dan menghargai jasa-jasa perkhidmatan serta pengorbanan veteran anggota tentera kepada negara.
“Mahkamah Persekutuan pada 27 Jun lalu mengisytiharkan pindaan undang-undang berkaitan pencen yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun bermula 2013 sebagai tidak sah.
“Bagaimanapun, mesyuarat Kabinet semalam mengumumkan bayaran dua peratus itu yang sudah dibayar tidak akan dianggap sebagai kenaikan pencen tetapi sebagai PKKP dan diteruskan hingga Disember ini.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keputusan itu dan memohon ia dapat diteruskan,” katanya pada sidang media pada program Jejak Pusara Pahlawan di Kampung Panchor, Pantai Remis, dekat sini hari ini.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah selepas menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputusan itu.
Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah berkata, Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, kurang memihak kepada pesara dan dengan itu, melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang dimiliki penjawat awam tersebut.
Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.
Sharuddin turut memohon kerajaan melakukan penyelarasan terhadap pencen yang diterima veteran tentera sebelum 2013 kerana skim baharu yang diperkenalkan pada tahun tersebut telah menyebabkan jurang besar pembayaran pencen antara penerima skim lama dan baharu.
Ketika ini, jelasnya, terdapat kira-kira 84,000 veteran tentera yang masih menerima pencen skim lama menyebabkan sebahagian besar mereka berada dalam kategori B40 di usia emas.
Difahamkan, ada antara mereka yang menerima pencen kurang RM1,000 sebulan berdasarkan skim lama berbanding pencen paling rendah iaitu pangkat Las Koperal berjumlah RM2,305 sebulan di bawah skim baharu.
Selain itu, beliau juga meminta kerajaan membantu veteran tentera yang bersara tanpa pencen iaitu mereka yang berkhidmat dalam ATM kurang 21 tahun, iaitu tempoh ditetapkan untuk melayakkan mereka mendapat pencen.
Menurut beliau, pihaknya berharap mereka yang bersara kurang daripada 21 tahun, mendapat imbuhan sekurang-kurangnya RM300 sebulan apabila berusia 60 tahun, sebagai penghargaan jasa mereka kepada negara. – UTUSAN