UMT perkasa kelestarian industri perikanan, akuakultur  - Utusan Malaysia

UMT perkasa kelestarian industri perikanan, akuakultur 

MOHAMED Khaled Nordin (tengah)  mendengar penerangan daripada seorang pensyarah mengenai kajian belangkas ketika mengadakan lawatan kerja di kampus UMT di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus membantu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkasakan usaha untuk  menjadi universiti yang berfokuskan kepada jaminan keselamatan makanan sumber akuatik, kelautan dan kesejahteraan maritim negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dalam usia yang masih muda, UMT telah mencapai kejayaan membanggakan apabila Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) dan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (Akuatrop) kini mencapai status Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE). 

 Menurutnya, Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin (ICAMB) yang berada di dalam perancangan Pelan Strategik UMT 2023-2027 juga sedang dalam proses mendapatkan status HICoE pada tahun 2025. 

“Saya berpuas hati dengan kecemerlangan yang telah direkodkan oleh UMT kerana mereka berusaha gigih untuk memeterai banyak kolaborasi menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan teknologi baharu serta pemindahan ilmu kepada komuniti.

“Semua itu adalah untuk memperkasakan lagi kelestarian industri perikanan dan akuakultur negara terutama untuk membantu taraf sosioekonomi masyarakat nelayan pesisir pantai. 

 “Selain memberi penekanan kepada industri perikanan, UMT turut progresif dalam memperkasa industri akuakultur melalui program dengan kerjasama industri dalam dan luar negara iaitu program Aquapreneur melalui pemindahan ilmu pengetahuan tentang teknologi canggih dan sistem internet kebendaan (IoT),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di kampus UMT di Kuala Nerus hari ini. 

Tambahnya, dengan kepakaran dan inovasi penyelidikan yang dijalankan di UMT, kementerian yakin ia dapat membantu pihak pembuat dasar atau polisi di pihak kerajaan ke arah visi dan matlamat yang dipersetujui bersama oleh pelbagai pihak. 

“Teruskan usaha UMT menjadi satu-satunya universiti yang tumpuan kepada bidang tujahan ilmu kelautan dan sumber akuatik melalui tiga elemen laut utama iaitu Akses Lautan (Accessible Ocean), Kesihatan Lautan (Healthy Ocean) dan Keselamatan Lautan (Safe Ocean). 

“HICoE Akuatrop telah banyak memberikan solusi kepada permasalahan nasional, terutamanya dalam situasi ketidakcukupan makanan pada masa hadapan dengan membangunkan induk spesis akuakultur baka tempatan berkualiti tinggi dengan penghasilan baka hibrid baharu, untuk bekalan kepada industri makanan laut di Malaysia dan serantau amnya.  

“Usaha ini secara tidak langsung dapat merangsang dan meningkatkan ekonomi masyarakat pesisir pantai dan pemain industri serta kelestarian sumber marin pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya