UMNO yakin jati diri ahli

UMNO yakin jati diri ahli

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas pemimpin UMNO yang sudah bersama parti lain bebas untuk bercakap apa saja termasuk membuat andaian kononnya ahli-ahli parti Melayu terbesar itu akan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, terpulang kepada mereka untuk membuat sebarang andaian kerana perkara itu bukanlah satu kesalahan dalam dunia demokrasi.

Namun katanya, UMNO sendiri yakin dengan jati diri dan semangat ahli-ahli yang tetap bersama parti itu dalam apa jua keadaan untuk terus bersama mereka berdepan PRN kali ini.

“Kalau tengok kepada jumlah undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kita tetap ada undi ‘deposit’ dalam kalangan ahli UMNO. Cumanya pada masa itu timbul persepsi menyebabkan pengundi ‘beralih angin’.

“Perubahan itu bagaimanapun bukanlah untuk sepanjang zaman. Kita yakin mereka yang berubah dulu akan patah balik tetapi banyak mana jumlahnya, hanya pengundi saja tahu,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Taklimat Pilihan Raya Negeri Kedah dan Penyerahan indeks prestasi utama (KPI) Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Dalam siri ceramah di Port Dickson semalam, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa, ahli-ahli UMNO sudah tidak lagi memberikan sokongan kepada parti itu sebaliknya akan memberi sokongan kepada PN.

Dakwaan itu turut disokong seorang lagi bekas pemimpin UMNO yang kini merupakan Naib Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mas Ermieyati Samsuddin  yang menyatakan, kemenangannya pada PRU15 di kerusi Parlimen Masjid Tanah turut dibantu oleh sukarelawan ‘senyap’ daripada Barisan Nasional (BN).

Mengulas lanjut Mahdzir berkata, pemerhatiannya mendapati sudah berlaku perubahan di Kedah apabila ada dalam kalangan individu yang memberikan undi kepada parti lawan dalam PRU15, mahu berpatah balik kepada BN.

“Perubahan itu bagi saya sudah berlaku. Cumanya sebab ‘kawan-kawan’ kita itu kini berada di sebelah sana, maka mereka cakaplah begitu.

“Sekarang ini masing-masing sedang berusaha sama ada di pihak kita atau mereka. Tetapi rakyat sangat cerdik dan kita beri peluang kepada mereka untuk buat keputusan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya