UMNO Perlis gesa kerajaan negeri dedah perincian pelaburan baharu RM2.5 bilion - Utusan Malaysia

UMNO Perlis gesa kerajaan negeri dedah perincian pelaburan baharu RM2.5 bilion

ROZABIL Abd. Rahman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Badan Perhubungan UMNO Perlis menggesa kerajaan negeri memperincikan senarai dan nilai pelaburan baharu membabitkan RM2.5 bilion yang didakwa telah berjaya dibawa masuk ke negeri ini hanya dalam tempoh tujuh bulan.

Langkah tersebut adalah bagi membolehkan rakyat mendapat maklumat yang lebih jelas berhubung pelaburan baharu yang kononnya telah berjaya dibawa oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd Rahman berkata, pendedahan perincian pelaburan baharu yang dibawa masuk itu akan menjadikan rakyat lebih cakna dengan pertumbuhan ekonomi dan bakal memberi impak kepada penduduk di Perlis.

“Gesaan oleh UMNO Perlis ini juga adalah bagi memastikan kejayaan kerajaan negeri memperoleh pelaburan baharu itu bukan sekadar retorik khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan Harakah Daily yang menyatakan bahawa kerajaan PN Perlis berjaya membawa masuk pelaburan mencecah RM2.5 billion dalam tempoh tujuh bulan sahaja.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, sekiranya kenyataan itu adalah benar dan berlandaskan fakta, maka kepimpinan kerajaan negeri seharusnya diberi pujian di atas kecekapan mereka mengurus tadbir ekonomi di Perlis.

“Namun, sekiranya pelaburan yang dimaksudkan itu adalah kesinambungan pelaburan yang diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu, maka ia tidak seharusya dilaporkan sedemikian,” katanya.

Tambahnya, tanpa maklumat jelas dan terperinci mengenainya akan dilihat sebagai satu usaha propaganda bagi memperdayakan rakyat khususnya menjelang PRN ini.

“Sehubungan itu, UMNO Perlis berharap agar kerajaan negeri di bawah PN dapat mempericikan maklumat pelaburan berkenaan dengan kadar segera.

“Kerajaan negeri juga pastinya tidak mempunyai masalah untuk bertindak sedemikian demi ketelusan kepada rakyat Perlis,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya