PUTRAJAYA: UMNO berdepan hambatan besar dan sukar untuk menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus menjadi beban kepada Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, dengan mendapat 45 peratus daripada 245 Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO dijangka kalah di banyak kerusi dan menyebabkan PH gagal untuk menawan dua negeri pembangkang selain sukar kukuh di tiga negeri di bawah pemerintahan PH.
Tambahan pula, katanya, dengan keadaan ekonomi yang merudum, isu barang pengguna yang mencanak naik dan tanpa bantuan subsidi, UMNO-PH ditolak terang terangan oleh pengundi Melayu.
“Faktor penolakan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula masih kuat dalam kalangan semua bangsa terutama Melayu akan menyebabkan UMNO dan BN terus ditolak oleh pengundi atas pagar.
“Ditambah pula dengan suasana ekonomi suram dan gagalnya kerajaan untuk melaksanakan reformasi, UMNO dan BN tidak mampu menjana kekuatan kepada PH untuk mendepani enam PRN akan datang,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Zahid baru-baru ini mengumumkan BN akan bertanding di lebih 100 DUN dalam 6 PRN akan datang manakala selebihnya oleh PH.
Sebelum ini, BN telah ditolak oleh pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana rakyat tidak dapat menerima Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan rasuah dengan mengundi PN sebagai alternatif parti Melayu. – UTUSAN